JOHOR BAHRU – Syarikat pembekal air terawat Johor, Ranhill SAJ Sdn. Bhd. menerima dana melebihi RM120 juta daripada kerajaan selepas mencatat pencapaian cemerlang dengan merekodkan kadar Air Tidak Berhasil (NRW) terendah dalam tempoh lima tahun.
Ketua Pegawai Operasinya, Khairul Effendy Tusam berkata, dana berkenaan disalurkan menerusi bayaran imbuhan balik di bawah Program Pengurangan Kadar NRW Kebangsaan oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra).
"Suntikan peruntukan itu akan digunakan untuk melaksanakan projek berimpak tinggi dan mampan demi kepentingan pengguna di seluruh Johor.
"Pencapaian kadar NRW sebanyak 24.1 peratus pada 2023 merupakan yang terendah dalam tempoh lima tahun, berbanding sasaran Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) iaitu 24.5 peratus,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa kejayaan itu adalah hasil usaha berterusan syarikat dalam mengoptimumkan kecekapan pengurusan air terawat.
Ujarnya, dana tersebut akan dimanfaatkan bagi menggantikan paip lama, pemasangan peralatan pengesan kebocoran serta peluasan kawasan pengukuran meter daerah (DMA).
"Usaha ini dijangka mampu meningkatkan kecekapan pemantauan sistem bekalan air kepada lebih empat juta pelanggan di seluruh Johor.
"Geran tersebut merupakan inisiatif strategik kerajaan dalam merangsang transformasi industri air negara dan diberikan kepada operator air yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam aspek kecekapan dan kelestarian air,” jelasnya.
Tambah beliau, selain Ranhill SAJ, dua lagi operator iaitu Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) dan Syarikat Air Terengganu (SATU) turut menerima geran padanan pada majlis tersebut.
Katanya, penyerahan dana telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof.