SHAH ALAM – Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menyaksikan Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima bagi pembangunan semula Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) antara Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) dan Lembaran Prospek Sdn Bhd (LPSB), anak syarikat milikan penuh MRCB Land Sdn Bhd.
Majlis berlangsung di sebuah hotel terkemuka di Seksyen 7, di sini pada Jumaat.
Tengku Amir Shah bertitah pembangunan KSSA sebagai satu simbol aspirasi rakyat Selangor dan lambang penyatuan masyarakat tanpa mengira sempadan mahupun latar belakang.
Baginda bertitah, pembangunan tersebut bukan sekadar projek infrastruktur tetapi satu cerminan visi masa depan Shah Alam sebagai bandar lestari, mesra komuniti dan bertaraf dunia.
"Shah Alam bukan sekadar sebuah bandar tetapi aspirasi untuk tempat yang menghubungkan rakyat dari Sungai Besar hingga ke Sepang, Gombak hingga ke Pulau Ketam.
"Beta membayangkan KSSA sebagai benih subur yang menumbuhkan sebuah bandar masa depan yang harmoni dan mampan, menjadi mercu tanda rakyat Malaysia dan para pengunjung,” titah baginda.
Surat Setuju Terima tersebut diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBI, Datuk Ts Saipolyazan M Yusop kepada Pengarah Urusan Kumpulan MRCB, Datuk Imran Salim yang mewakili LPSB.
Majlis turut dihadiri oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin.
Dalam pada itu Raja Muda Selangor turut menzahirkan keyakinan bahawa KSSA bakal menjadi ruang inklusif yang menyatukan elemen sukan, budaya, seni dan pembelajaran dalam membina komuniti yang lebih kukuh dan progresif.
"Reka bentuk KSSA akan mengutamakan kebolehcapian untuk semua termasuk kanak-kanak autistik dan individu berkeperluan khas, dengan pelan pembangunan berteraskan prinsip 'sponge city' seperti taman hujan, turapan telap air dan taman lembap buatan bagi memperkukuh ekosistem dan kelestarian bandar,” titah baginda lagi.
KSSA akan merangkumi stadium serba guna bertaraf antarabangsa, padang latihan bola sepak, arena tertutup, ruang acara pelbagai guna, kemudahan gaya hidup serta kawasan landskap hijau seluas 310,000 meter persegi (76.6 ekar) yang merangkumi taman botani, laluan pejalan kaki, joging dan berbasikal.
Sementara itu, Amirudin berkata, pembangunan semula KSSA merupakan sebahagian daripada Rancangan Selangor Pertama (RS-1) dan mencerminkan komitmen kerajaan negeri ke arah mewujudkan Selangor yang lebih mampan, dinamik dan berdaya huni.
"Ini adalah projek warisan, dibina demi rakyat dan berpaksikan masa depan. Ia menyatukan kemajuan ekonomi, infrastruktur dan alam sekitar serta disepadukan dengan projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) bagi memperkukuh rangkaian pengangkutan bandar,” ujar beliau.
Sementara itu, Saipolyazan dalam kenyataan pula menjelaskan pembangunan tersebut bakal menjadi pemangkin transformasi Shah Alam sebagai bandar pintar dan hijau serta menyokong pertumbuhan ekonomi melalui pemulihan aktiviti tempatan dan mitigasi banjir.
"Kerjasama bersama MRCB ini akan menjelmakan satu mercu tanda baharu yang menghargai sejarah, memberi inspirasi kepada generasi muda dan menyambut masa depan Selangor yang progresif,” ujarnya.
Pembangunan KSSA turut melibatkan firma seni bina tempatan Hijjas serta perunding reka bentuk antarabangsa Populous.
Elemen asal Stadium Shah Alam hasil rekaan arkitek terkemuka Malaysia, Hijjas Kasturi akan dikekalkan dan digabungkan dengan ciri moden yang berpaksikan komuniti.
KSSA dijangka menjadi nadi baharu kepada Shah Alam dan pusat penyatuan rakyat Selangor dalam meneruskan legasi kepimpinan yang berpandangan jauh dan inklusif.