JOHOR BAHRU - Pengakuan salah tiga lelaki yang dipercayai anggota kumpulan muzik 'skinhead' memukul seorang vokalis kumpulan muzik tersebut ditolak selepas fakta kes dibacakan di Mahkmah Majistret di sini pada Jumaat tidak diperakui.
Tertuduh, Samsul Muarif M Padal, 36; Mozlani Tukimon, 35 dan Muhammad Ahnaf Ab Rahman, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nabilah Nizam.
Bagaimanapun, selepas fakta kes dibacakan, Mozlani dan Muhammad Ahnaf tidak mengakui fakta kes berkenaan dan menafikan telah memukul mangsa menggunakan tong sampah.
Mahkamah kemudian tidak menerima pengakuan salah mereka yang didakwa bersama-sama itu.
Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga lelaki berkenaan didakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa Zaid Nazim Zainal Abidin, 23, menggunakan tong sampah aluminium sebagai senjata untuk menyerang yang mungkin boleh menyebabkan kematian.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah gimnasium dekat City Plaza, Jalan Wadi Hana di sini kira-kira jam 10.30 malam, 10 Mei lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntuk hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau mana-mana dua seksaan itu, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya R Nevina mencadangkan jumlah jaminan RM10,000 terhadap setiap tertuduh, sebelum dibantah peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Goh Poh Gek yang mewakili ketiga-tiga tertuduh.
Menurut Poh Gek, tertuduh pertama iaitu Samsul Muarif masih bujang menanggung ibu bapa yang uzur dan tidak mempunyai pekerjaan serta gaji tetap.
Beliau memaklumkan, Mozlani yang masih bujang pula hanya bekerja kilang dan menanggung ibunya dengan gaji RM2,000 sebulan.
"Bagi Muhammad Ahnaf, dia sudah bercerai dan mempunyai seorang anak. Dia seorang 'freelancer' dengan gaji RM2,000 sebulan. Ketiga-tiga mereka adalah pesalah kali pertama," katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 Jun depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.
Sebelum ini media melaporkan, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat mengesahkan kes pergaduhan yang tular di media sosial melibatkan beberapa individu telah dirujuk kepada Pejabat Pendakwa Raya Negeri Johor (PPNJ) pada 15 Mei.
Ujarnya, hasil siasatan dan arahan pendakwaan, tiga suspek utama akan didakwa pada 16 Mei, manakala tiga lagi individu dibebaskan tanpa syarat selepas semakan lanjut dibuat berhubung penglibatan mereka dalam kejadian tersebut.