Nahas FRU: Pemilik syarikat lori batu sudah dipanggil beri keterangan

Iklan
Bakri.

TELUK INTAN - Pemilik syarikat lori muatan batu kerikil telah dipanggil memberi keterangan kepada polis bagi membantu siasatan berhubung kemalangan mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin berkata, siasatan yang dijalankan kini memberi tumpuan kepada tiga aspek utama iaitu kecuaian manusia, faktor teknikal dan juga elemen persekitaran.

Iklan
Iklan

Menurutnya, siasatan tersebut dijalankan secara menyeluruh dengan kerjasama Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan beberapa pihak berkepentingan lain.

"Syarikat terbabit telah kita panggil semalam bagi mendapatkan maklumat tambahan berkaitan siasatan. Pemilik syarikat hadir dan memberikan kerjasama sepenuhnya," katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.

Iklan

Dalam nahas pada Selasa lalu, sebuah trak FRU yang membawa 18 anggota dari Unit 5 Sungai Senam bertembung dengan sebuah lori membawa muatan batu kerikil di Kilometer 15 Jalan Chikus–Sungai Lampam di sini.

Lapan anggota disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan seorang lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Teluk Intan.

Iklan

Beliau berkata, siasatan polis setakat ini dijalankan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan seramai 15 individu dalam kalangan saksi polis dan orang awam telah dipanggil untuk memberi keterangan.

"Fokus utama sekarang ialah kepada mereka yang benar-benar berada di lokasi dan melihat kejadian berlaku. Ini kerana konvoi melibatkan tujuh kenderaan dan tidak semua berada dalam jarak yang sesuai untuk menyaksikan insiden dengan jelas," katanya.

Dalam pada itu, Bakri meminta orang ramai yang memiliki rakaman kamera papan pemuka ('dashcam') sama ada sebelum, semasa atau selepas kejadian supaya tampil menyalurkan maklumat kepada polis.

"Setakat ini belum ada pihak yang tampil menyerahkan rakaman 'dashcam'. Orang awam jika ada rakaman berkaitan, sila salurkan kepada kami. Ia adalah bahan bukti penting yang boleh diterima di mahkamah," katanya.