Banjir kilat: Tiga laluan baharu aliran air dibina di Taman Sri Muda

Iklan
Antara pelan mitigasi banjir yang dikongsikan Preakas di Facebook pada Jumaat. (Gambar kecil: Preakas)

SHAH ALAM - Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menerusi Jabatan Kejuruteraan melaksanakan beberapa langkah proaktif supaya dapat meminimumkan impak banjir kilat dan mengelakkan kerosakan harta benda penduduk di Taman Sri Muda.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Kemuning, Preakas Sampunathan memaklumkan, antara pendekatan utama yang diambil termasuk menstruktur semula sistem laluan air di kawasan berkenaan daripada satu kepada tiga bahagian berasingan untuk mempercepatkan aliran air keluar dari kawasan perumahan ke Sungai Klang ketika hujan lebat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, berdasarkan pelan asal, semua aliran air dari Taman Sri Muda menuju ke satu lokasi iaitu tidal gate di Jalan Srikandi 25/14 menyebabkan aliran air menjadi perlahan akibat beban tinggi yang ditanggung oleh sistem saliran di lokasi tersebut.

Beliau berkata, sebagai penyelesaian, dua projek pembinaan rumah pam serta infrastruktur berkaitan sedang dijalankan di Jalan Khidmat 25/35 dan Jalan Saksama 25/39 serta di Persiaran Aman berhampiran Surau At-Taqwa.

Iklan

"Lokasi ini dipilih berdasarkan kajian awal yang menunjukkan kedudukannya berhampiran Sungai Klang, sekali gus membolehkan air dialirkan lebih cepat keluar dari kawasan perumahan.

"Air dari kawasan Taman Sri Muda kini dipecahkan kepada beberapa laluan baharu yang disalurkan ke rumah pam tersebut, mengurangkan tekanan terhadap tidal gate Jabatan Parit dan Saliran dan longkang monsun di Jalan Gemilang 25/1.

Iklan

"Infrastruktur saliran di kawasan tersebut turut diperbesarkan dan didalamkan bagi menampung kuantiti air yang lebih banyak ketika hujan lebat,” katanya di Facebook pada Jumaat.

Sebelum ini dilaporkan, penduduk di beberapa kawasan termasuk Taman Sri Muda mengadakan perhimpunan aman bagi menuntut kerajaan negeri memberi jalan penyelesaian segera terhadap masalah banjir kilat yang sering melanda kawasan terbabit.

Wakilnya, K Umagandhan berkata, penduduk di kawasan itu buntu apabila masalah berkenaan masih belum selesai sejak beberapa tahun lalu menyebabkan mereka perlu menanggung kerugian yang besar akibat kerosakan harta benda.

Mengulas lanjut, Preakas berkata, saiz sump pit rumah di Jalan Khidmat 25/35 dan Jalan Saksama 25/39 ialah enam meter lebar dan 4 meter tinggi manakala di Persiaran Aman lapan meter lebar dan empat meter tinggi.

Ujar beliau, beberapa cadangan tindakan jangka pendek turut dirancang termasuk pembinaan kolam tadahan sementara dan pembesaran sistem pembetung yang dijangka bermula dalam masa terdekat.

"Ia termasuk membina kolam tadahan sementara di beberapa kawasan dan menaik taraf pembetung yang masing-masing dijangka akan bermula pada penghujung Mei ini dan pertengahan Jun 2025.

"Beberapa projek jangka pendek juga telah selesai seperti membesarkan pembetung di Jalan Tokoh 25/28 dengan kos RM48,000 yang memakan masa 12 hari untuk disiapkan.

"Selain itu, kerja membaik pulih longkang selama 12 hari di Jalan Cekal 25/34 dengan kos RM31,000, aliran air juga tersekat kerana tembok longkang rebah di Jalan Ria 25/62 dan kerja ini mengambil masa selama 10 hari dengan kos masing-masing RM37,000 serta RM43,000,” ujarnya.

Tambah Preakas, walaupun beberapa projek telah siap dilaksanakan, namun terdapat beberapa kawasan yang masih dinaiki air.

"Justeru, MBSA telah melantik perunding bagi menjalankan kajian lebih mendalam di kawasan-kawasan tersebut sebagai langkah penambahbaikan,” katanya lagi.