Wanita maut putus kaki kiri dalam kemalangan

Iklan
Seorang wanita maut dengan keadaan kaki kirinya putus selepas motosikal ditunggang dirempuh sebuah kereta yang gagal mengelak mangsa.

JEMPOL – [DIKEMAS KINI] Seorang wanita maut dalam keadaan tragis apabila kaki kirinya putus selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas ke laluan bertentangan lalu dirempuh sebuah kereta di Jalan Felda Lui Selatan-Tembangau, di sini pada Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.55 pagi itu, mangsa berusia 23 tahun dalam perjalanan dari Kampung Sungai Sampo menuju ke Ladang Perlating Jernih untuk bekerja.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Norhisham Mustapar berkata, ketika kejadian mangsa yang merupakan pekerja ladang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda.

"Sebaik tiba di lokasi, motosikal yang ditunggangnya dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan.

Iklan

"Pada masa sama, sebuah kereta yang dipandu oleh seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun dari arah bertentangan tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurut beliau, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Iklan

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat pemanduan melulu atau berbahaya.

"Pihak polis memohon mana-mana saksi kejadian untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol, Inspektor Yasmin Beevee Mohamed Ali di talian 012-9434222,” katanya.