KUALA LUMPUR – Pendedahan terbuka mengenai kegiatan yang disyaki menyalahi undang-undang sebelum maklumat disalurkan kepada pihak berkuasa dikhuatiri memberi peluang kepada pihak terlibat menghapuskan bukti, sekali gus menjejaskan siasatan.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, tindakan mendedahkan maklumat sedemikian secara terbuka juga boleh menyebabkan pihak terbabit menghentikan kegiatan atau mengubah modus operandi bagi mengelak dikesan.
Sehubungan itu, beliau meminta individu yang mempunyai maklumat atau bukti berkaitan dakwaan penyelewengan pengeluaran Pas Khas yang dikatakan membabitkan beberapa pegawai imigresen di Kuala Lumpur supaya menyalurkannya secara rasmi kepada pihak berkuasa.
Katanya, maklumat boleh diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membolehkan siasatan menyeluruh dijalankan dan tindakan sewajarnya diambil.
"JIM memandang serius dakwaan berkenaan dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku, penyalahgunaan kuasa atau pelanggaran integriti oleh mana-mana pegawai tanpa mengira pangkat dan kedudukan.
"Penyaluran maklumat secara terus kepada pihak berkuasa amat penting bagi memastikan kerahsiaan maklumat dan integriti bahan bukti dapat dipelihara," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Dalam pada itu, Zakaria memaklumkan seramai 849 pegawai imigresen dikenakan tindakan tatatertib secara kumulatif bagi tempoh 2023 hingga Oktober 2026, termasuk 73 pegawai yang dibuang kerja.
"Bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini sahaja, seramai 96 pegawai dikenakan tindakan tatatertib, termasuk 18 pegawai yang dikenakan hukuman buang kerja," katanya.
Beliau berkata, statistik itu mencerminkan ketegasan JIM dalam mengambil tindakan terhadap pegawai yang didapati melakukan pelanggaran tatatertib tanpa mengira pangkat atau kedudukan.
"JIM sentiasa terbuka menerima maklumat berkaitan salah laku pegawai dan memberi jaminan setiap aduan akan diteliti serta disalurkan untuk tindakan mengikut peruntukan undang-undang dan peraturan berkuat kuasa.
"JIM juga akan terus memperkukuh aspek integriti, pematuhan prosedur dan mekanisme kawalan dalaman bagi memastikan setiap urusan perkhidmatan dilaksanakan secara telus, teratur serta berlandaskan undang-undang," katanya.