TMJ harap Kerajaan Persekutuan sokong Sekolah Rintis Bangsa Johor

Iklan
Tunku Mahkota Ismail merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar pada Jumaat.

ISKANDAR PUTERI – Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menzahirkan harapan agar Kerajaan Persekutuan turut menyertai usaha Kerajaan Negeri Johor dalam membangunkan modal insan berkualiti tinggi melalui pelaksanaan Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ).

Baginda bertitah, sistem pendidikan yang statik dan ketinggalan zaman tidak lagi relevan serta tidak boleh dijadikan asas dalam melahirkan generasi berdaya saing di peringkat domestik mahupun global.

Iklan
Iklan

"Pendidikan untuk Bangsa Johor amat penting. Saya percaya pendidikan berkualiti tinggi akan melahirkan rakyat yang berdaya saing di peringkat domestik dan global.

"Saya gembira kerana cetusan idea saya untuk mewujudkan SRBJ telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri. Saya berharap SRBJ menjadi model kepada pendekatan pendidikan negeri yang lebih inklusif dan progresif,” titah baginda.

Iklan

Tunku Mahkota Ismail bertitah demikian ketika merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar pada Jumaat.

Inisiatif SRBJ yang bermula pada Februari tahun ini melibatkan empat buah sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Puteri 2, SMK Tasek Utara, Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Puteri 4 dan SK Tasek Utara.

Iklan

Minggu lalu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dilaporkan berkata bahawa kejayaan pelajar SRBJ tidak hanya bergantung kepada murid, guru dan pihak kementerian, tetapi turut memerlukan sokongan ibu bapa.

"Kalau sekolah rintis ini berjaya, Insya-ALLAH kita boleh kembangkan ke lebih banyak sekolah. Terdapat lebih 1,100 sekolah di Johor yang boleh dimanfaatkan,” katanya.

Tunku Mahkota Ismail turut bertitah bahawa seramai 90 guru telah dihantar mengikuti kursus di institusi pendidikan di Singapura bagi memperkasakan kemahiran dan model pengajaran mereka.

Dalam perkembangan berkaitan, baginda bertitah bahawa institusi kekeluargaan turut memainkan peranan penting dalam membentuk nilai dan jati diri anak-anak sebelum melangkah ke alam persekolahan dan masyarakat.

"Bangsa Johor mesti kekal dengan identiti yang unik, progresif dan berdaya saing, namun tidak melupakan akar budaya serta nilai tradisi negeri ini.

"Saya ingin melihat Bangsa Johor yang tinggi sahsiah diri, patriotisme dan setia kepada negeri ini.

"Justeru, saya menyeru Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri agar merangka pelbagai inisiatif untuk memperkukuh jati diri rakyat merentasi semua peringkat umur,” titah baginda.