KOTA KINABALU - Seramai 769 pendatang asing tanpa izin (PATI) berjaya diusir ke negara asal menerusi program pemindahan tahanan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dari tiga Depot Imigresen di negeri ini melalui Pelabuhan Sandakan, ke Pelabuhan Zamboanga City, Filipina, pada Khamis.
Menurut Pengarah Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof, pemindahan tersebut melibatkan PATI warga Filipina yang sebelum ini ditempatkan di Depot Sandakan, Tawau dan Papar.
"Kerja pemindahan PATI pulang ke negara asal dilakukan menggunakan kemudahan kapal MV Antonia 1 yang terdiri daripada 438 lelaki dan 140 wanita dewasa, 98 kanak-kanak lelaki dan 93 kanak-kanak perempuan berusia anggaran tiga bulan hingga 73 tahun.
"Kanak-kanak yang menyertai program ini turut diiringi oleh ibu bapa atau pengiring masing-masing," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
SH Sitti Saleha berkata, setakat ini, seramai 4,762 warga Filipina telah pulang ke negara asal mereka.
"Jumlah ini menyumbang kepada angka keseluruhan PATI di bawah program pemindahan tahanan asing ke negara asal daripada negeri Sabah sahaja iaitu seramai 5,620 orang.
"Kesemua tahanan PATI telah selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undangundang yang telah ditetapkan dan mempunyai dokumen perjalanan (TD) yang sah untuk melayakkan diri mengikuti proses pemindahan tahanan asing ke negara asal," katanya.
Tambah beliau lagi, operasi pemindahan tahanan itu adalah sebahagian daripada operasi berterusan JIM Sabah yang dijalankan dari masa ke masa bagi kesemua tahanan yang ditempatkan di Depot-Depot Imigresen di Sabah.
"Ini juga adalah untuk mengelak tempoh penahanan mereka lebih panjang," jelasnya.