Pemandu lori didakwa memandu berbahaya sebabkan kematian 9 anggota FRU

Iklan
Tertuduh, Rudi Zulkarnain ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Teluk Intan pada Jumaat atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian sembilan anggota FRU, Selasa lalu.

TELUK INTAN - [DIKEMAS KINI] Seorang pemandu lori di hadapkan ke Mahkamah Majistret Teluk Intan pada Jumaat atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Selasa lalu.

Tertuduh, Rudi Zulkarnain Mat Radi, 45, dari Kampung Kota, Hilir Perak bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap sembilan pertuduhan yang dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Norhamizah Shaiffudin.

Iklan
Iklan

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh sebagai pemandu lori jenis Hino telah memandu dengan cara berbahaya kepada orang awam hingga mengakibatkan kematian kepada S Perumal, 44.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kilometer 15 Jalan Sungai Manik dalam daerah Hilir Perak jam lebih kurang 9.05 pagi pada 13 Mei 2025.

Iklan

Bagi pertuduhan kedua sehingga sembilan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama menyebabkan kematian kepada Mohd Roslan Abd Rahim, 46; Mohd Pozli Jaudin, 41; Nurit Pandak, 34; Amiruddin Zabri, 38; Mohamad Hilmi Mohd Azlan, 38; Muhamad Akmal Muhamad, 35; Damarrulan Abdul Latif, 33; dan Akmal Wafi Annuar, 28, di tempat, masa dan tarikh sama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang membawa hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun dan denda maksimum tidak lebih RM50,000, serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang lima tahun, jika sabit kesalahan.

Iklan

Timbalan Pendakwa Raya, Izzuddin Fakri Hamdan menawarkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat tambahan lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes di mahkamah selesai selain melapor diri di balai polis setiap minggu.

Tertuduh yang masih bujang diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Francais Sinnappan memohon jaminan minimum atas alasan tidak mampu membayar kerana mempunyai pendapatan kurang RM2,000 sebulan dan menghidap penyakit asma.

Mahkamah kemudian menetapkan wang jaminan sebanyak RM6,000 bagi semua pertuduhan dan membenarkan syarat-syarat tambahan seperti dikemukakan pihak pendakwaan.

Sebutan semula kes dan lantikan peguam ditetapkan pada 17 Jun ini.

Terdahulu media melaporkan, kejadian berlaku ketika trak dinaiki 18 anggota FRU Unit 5 berpangkalan di Sungai Senam, Ipoh bertembung dengan sebuah lori muatan batu kerikil yang masuk ke laluan bertentangan.

Pelanggaran mengakibatkan lapan anggota FRU meninggal dunia di lokasi kejadian dan seorang menghembuskan nafas terakhir di Hospital Teluk Intan, manakala sembilan lagi cedera dengan sebahagiannya parah.

Semasa kejadian, kenderaan terlibat dalam perjalanan pulang ke Ipoh bersama enam kenderaan FRU yang lain selepas selesai penugasan perayaan Chitra Pournami di Teluk Intan.