Perkuat pasaran domestik kunci tangani isu tarif balas AS

Iklan
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan tiada kemelesetan ekonomi dijangka berlaku walaupun Malaysia terkesan dengan tarif AS.
Baru-baru ini, Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif balas sebanyak 24 peratus ke atas barangan import dari Malaysia, di bawah dasar perdagangan baharu Presiden Donald Trump.

Negara lain turut terkesan termasuk China (125 peratus), Vietnam (46 peratus), Sri Lanka (44 peratus), Kemboja (49 peratus), Laos (48 peratus), Myanmar (44 peratus) dan Kesatuan Eropah (20 peratus).

Langkah ini dinamakan ‘Liberation Day’ yang bertujuan mewujudkan senario persaingan perdagangan antarabangsa yang lebih adil menurut pentadbiran Trump.

Namun, Trump mengumumkan tarif akan dikurangkan sementara kepada 10 peratus selama 90 hari bagi memberi ruang kepada rundingan perdagangan.

Dalam pada itu, negara-negara ASEAN akan mengeluarkan ketetapan bersama sebagai maklum balas terhadap langkah tarif AS.

Sementara itu Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), melalui menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ketetapan itu akan dibincangkan dalam Mesyuarat Menteri Ekonomi ASEAN yang akan dihoskan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.

TENGKU ZAFRUL
Iklan
Iklan
Iklan
Iklan


Jelas beliau, ASEAN mempunyai kelebihan daya saing dan kemampuan menghasilkan produk berkualiti tinggi dengan kos efektif.

Tegas Tengku Zafrul lagi, pengumuman tarif AS mencetus ketidaktentuan pasaran serta menjejaskan negara berorientasikan eksport seperti Malaysia, Singapura dan Vietnam.

Justeru, Malaysia akan mempengerusikan Mesyuarat Khas Menteri Ekonomi ASEAN bagi memperkukuh kerjasama rantau.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan tiada kemelesetan ekonomi dijangka berlaku walaupun Malaysia terkesan dengan tarif AS.

Katanya, Malaysia tidak akan melaksanakan langkah balas tarif terhadap AS buat masa ini.

Tambah beliau, asas makro ekonomi negara kekal kukuh, namun unjuran Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) 2025 mungkin disemak jika tarif 24 peratus dilaksanakan sepenuhnya.

Malaysia dipuji ambil pendekatan berhemah

Justeru, Ketua Penganalisis Ekonomi, Bank Muamalat Malaysia Berhad Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berpandangan langkah proaktif kerajaan dalam memanfaatkan tempoh bertenang berkenaan, adalah bukti kesungguhan mereka dalam menangani risiko ekonomi yang bakal ditanggung negara kelak.

"Walaupun terdapat pertimbangan untuk menyemak semula unjuran KDNK bagi tahun 2025 yang kini berada dalam lingkungan 4.5 hingga 5.5 peratus, perkara itu dilihat sebagai langkah bersifat berjaga-jaga dan bukan petanda langsung kepada kemelesetan.

"Dari sudut mikro ekonomi, rakyat Malaysia dijangka tidak akan terbeban secara langsung dengan konflik perdagangan ini.

"Ini kerana kerajaan mengambil pendirian tidak akan mengenakan tarif balas terhadap AS, sekali gus memastikan harga barangan import kekal stabil. Sebaliknya, rakyat Amerika Syarikat berdepan risiko kenaikan harga kerana mereka perlu menanggung beban tarif jika mengimport barangan dari luar negara," katanya.

DR MOHD AFZANIZAM


Namun begitu, Dr Mohd Afzanizam tidak menafikan terdapat kesan tidak langsung yang mungkin timbul susulan tindakan China mengenakan tarif balas sebanyak 84 peratus terhadap barangan dari AS.

"Memandangkan China merupakan antara rakan dagang utama Malaysia, peningkatan kos perniagaan di negara itu dijangka akan memberi kesan kepada harga eksport yang masuk ke Malaysia khususnya dalam sektor teknologi, automotif dan farmaseutikal,"katanya.

Dalam pada itu katanya, sebagai anggota BRICS, Malaysia tidak mengambil pendekatan konfrontasi terhadap Amerika Syarikat, sebaliknya menganjurkan dasar pragmatik dengan memperluas pasaran perdagangan.

"Langkah ini bukan sahaja membuka peluang baharu kepada peniaga tempatan, tetapi juga mengurangkan kebergantungan terhadap pasaran tunggal sekali gus memperkukuh daya tahan ekonomi negara dalam jangka panjang.

"Dalam konteks serantau pula, peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 amat signifikan. Malaysia komited untuk memperkasa perdagangan intra-ASEAN dan memastikan kesepakatan dalam kalangan negara anggota dalam berunding dengan kuasa besar seperti AS.

"Pendekatan bersepadu ini dilihat penting untuk mencapai penyelesaian menang-menang, di samping memastikan kestabilan dan kelangsungan rantai bekalan serantau," kata Mohd Afzanizam.

Perlu sokongan jangka panjang daripada kerajaan

Bagi Presiden Persatuan SME Malaysia, Chin Chee Seong pula, kesan serta-merta akibat langkah AS mengenakan tarif balas terhadap negara masih belum dirasai kerana tarif berkenaan ditangguhkan selama 90 hari.

Bagaimanapun, beliau mengunjurkan sekiranya langkah ini diteruskan, jangkaan penurunan permintaan dari AS akhirnya boleh menjejaskan aliran tunai syarikat-syarikat tempatan.

"Dalam jangka panjang, kami menjangkakan hasil jualan akan terkesan. Walaupun kesannya mungkin tidak drastik dalam masa terdekat, kami risau terhadap impak terhadap pendapatan dan kelangsungan operasi,” katanya.

CHEE SEONG


Sehubungan itu, Chee Seong menegaskan pihak industri menyeru kerajaan agar tampil dengan langkah sokongan menyeluruh bagi membantu pengusaha tempatan menyesuaikan diri dengan landskap perdagangan global yang semakin mencabar.

"Antara cadangan utama ialah pemberian geran bagi membantu promosi dan pengembangan pasaran ke negara-negara baharu seperti di Amerika Selatan, Timur Tengah dan negara-negara BRICS.

"Ramai dalam kalangan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) tidak mempunyai dana mencukupi untuk mempromosikan produk ke pasaran baharu yang jauh dari rantau ini.

"Jika kerajaan dapat menyediakan geran dan menggunakan pejabat-pejabat agensi perdagangan luar negara seperti Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) untuk membantu kami, ia sangat membantu dalam memperluaskan liputan pasaran,” jelasnya.

Pihak industri menyeru kerajaan agar tampil dengan langkah sokongan menyeluruh bagi membantu pengusaha tempatan menyesuaikan diri dengan landskap perdagangan global yang semakin mencabar.


Katanya, selain itu, pengusaha turut meminta kerajaan mempertimbangkan pemberian pinjaman jangka pendek dengan kadar faedah rendah sebagai penyelesaian terhadap masalah aliran tunai yang dijangka timbul kelak.

Mengulas mengenai persediaan sektor perniagaan dan pengguna dalam menghadapi situasi ini, beliau berkata, syarikat perlu segera mencari alternatif dari segi sumber bekalan bahan mentah melalui negara yang menawarkan kos lebih rendah.

"Ini bertujuan untuk mengawal kos operasi ketika permintaan dijangka menurun. Bagi pengguna pula, pengusaha menjangkakan perubahan tingkah laku perbelanjaan dengan kecenderungan untuk mengurangkan pembelian.

"Oleh itu, kita menyarankan agar kerajaan turut membantu mempromosi produk tempatan secara lebih agresif bagi menggalakkan penggunaan dalam negara.

"Kita bukan sahaja perlu fokus kepada eksport, malah perlu perkuatkan pasaran domestik. Jika pengguna dalam negara membeli produk tempatan, ia boleh membantu mengekalkan operasi perniagaan dalam tempoh mencabar ini,” ujarnya lagi.