MPKS bongkar aktiviti perniagaan haram, curi elektrik RM300,000

Iklan
Sebahagian peralatan yang dirampas dalam serbuan itu di sebuah premis di Puncak Alam pada Khamis.

KUALA SELANGOR – Kegiatan perniagaan tanpa lesen dan penyalahgunaan elektrik di empat premis di bandar Puncak Alam di sini terbongkar selepas diserbu pihak berkuasa pada Khamis.

Operasi kira-kira jam 10 pagi itu menyaksikan sebanyak 62 mesin Bitcoin dan 18 kipas mesin disita dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM300,000.

Iklan
Iklan

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), Mohamad Lutfi Mislan berkata, empat premis telah diperiksa dalam operasi berkenaan iaitu di Taman Perindustrian Alam Jaya dan Pusat Perdagangan Alam Jaya.

"Hasil pemeriksaan mendapati kesemua premis berkenaan menjalankan perniagaan tanpa lesen dan menggunakan elektrik secara haram,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Iklan

Ujar beliau, MPKS telah mengeluarkan empat notis penutupan premis di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (UUK PTPP) MDKS 2007.

"Selain itu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) turut bertindak membetulkan pemasangan meter selepas mengesan ia telah dialihkan oleh pihak tidak bertanggungjawab,” ujar beliau.

Iklan

Menurut Mohamad Lutfi, semua barangan sitaan telah didaftarkan dalam inventori rasmi MPKS dan tindakan lanjut akan diambil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

"MPKS akan memastikan pematuhan peraturan di kawasan pentadbiran, khususnya membabitkan aktiviti perniagaan tanpa lesen dan penggunaan tenaga elektrik secara tidak sah.

"Operasi seumpama ini akan diteruskan secara berkala menerusi kerjasama bersepadu dengan pelbagai agensi penguat kuasa lain,” tambah beliau.