TAWAU - Peneraju pembangunan hartanah dan pengurusan aset merangkumi pelaburan dan pengurusan harta, hospitaliti serta pengurusan fasiliti, UDA Holdings Berhad (UDA) memperkasa lebih 5,000 komuniti luar bandar menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) UDA Cares - Project RE_.
Sumbangan itu disalurkan melalui Program Satelit CSR KUSKOP sempena Program Madani Rakyat (PMR) 2025 Sabah yang berlangsung selama tiga hari bermula 9 Mei, anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) selaku Kementerian Peneraju dan Kerajaan Negeri Sabah serta Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (Pacu).
Inisiatif menerusi UDA Cares - Project RE_ itu merangkumi kerja-kerja membaik pulih dan pemasangan empat unit lampu solar di gelanggang futsal dan membaik pulih perpustakaan desa.
Ia juga melibatkan pemasangan dua unit lampu solar di pos kawalan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan empat unit lampu solar di Jeti Kampung Mentadak Baru di Pulau Sebatik, di sini.
Selain itu, UDA turut menyalurkan sumbangan gotong-royong dan bahan masakan untuk kenduri rakyat di PPR Taman Sri Apas, Batu 8, Tawau.
Menteri KUSKOP, Datuk Ewon Benedick berkata, usaha UDA itu perlu dicontohi oleh agensi dan sektor korporat lain untuk lebih proaktif menyokong pembangunan infrastruktur dan kualiti masyarakat khususnya di luar bandar.
"Usaha ini amat penting untuk menjayakan agenda pembangunan negara menerusi aspirasi Malaysia Madani khususnya dalam aspek kesejahteraan demi kepentingan semua,” katanya.
Sementara itu, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Johari Shukri Jamil berkata, program yang dilaksanakan menerusi tunggak CSR UDA Cares - Project RE_ merupakan usaha berterusan syarikat dalam menyantuni dan memperkasa komuniti melalui program kemasyarakatan.
"Langkah ini diharap dapat menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan anak muda serta penduduk setempat seterusnya mewujudkan persekitaran yang positif,” katanya.
Beliau berkata, usaha itu juga selari dengan penjenamaan UDA iaitu L.I.F.E. atau Legacy (Legasi), Integrated (Integrasi), Finesse (Ketelitian) dan Enrich (Memperkasa).
Bertemakan ‘Menoktahkan Kemiskinan Melalui Keusahawanan’, Program Satelit CSR KUSKOP turut menampilkan Program Halal Success KUSKOP dan Program Bicara Ilmu & Jom@Coop.