KUALA TERENGGANU – Seramai 34 pekerja warga Bangladesh dan tiga majikan warga tempatan ditahan dalam Operasi Pintas Mega 2/2025 dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Terengganu bersama Jabatan Tenaga Kerja (JTK) di tiga buah restoran sekitar bandar di sini.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, serbuan dilakukan oleh Cawangan D7, JSJ Terengganu itu dibuat serentak minggu lalu berdasarkan maklumat risikan berhubung kegiatan pemerdagangan orang dan eksploitasi tenaga kerja asing.
"Hasil operasi itu, kita berjaya menahan 34 lelaki warga Bangladesh berusia lingkungan 20 hingga 60 tahun yang bekerja di tiga restoran berbeza, selain menahan tiga lelaki tempatan dipercayai majikan yang menggajikan mereka.
"Siasatan mendapati kesalahan yang dilakukan melibatkan Seksyen 55B, 6(1)(c) dan 15(1)(c) di bawah Akta Imigresen 1959/63, membabitkan kesalahan menggajikan pekerja asing, tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan salah guna permit," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.
Menurutnya, JTK turut mengeluarkan kompaun di bawah Seksyen 24D Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja (kompaun) terhadap majikan terlibat.
"Semua pengusaha diminta mematuhi undang-undang ketika menggajikan pekerja asing dengan memastikan dokumentasi dan permit sah dimiliki mereka.
"Orang ramai digesa menyalurkan segera kepada pihak berkuasa jika mendapati sebarang maklumat berkaitan kegiatan pemerdagangan orang atau eksploitasi tenaga kerja asing," katanya.