Pelan Kemajuan Halal Negeri Johor 2030 dilancar tahun ini

Iklan
ONN HAFIZ menunjukkan Pelan Kemajuan Halal Johor 2030.

PELAN Kemajuan Halal Negeri Johor 2030 sedang diperhalusi dan akan dilancarkan tahun ini bagi memperkasakan ekosistem halal negeri secara menyeluruh.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pelan penting itu akan meletakkan Johor sebagai negeri pertama mempunyai kerangka pembangunan ekonomi halal menyeluruh.

Iklan
Iklan

"Dengan semakin banyak pelabur hadir ke Johor menerusi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), pelan ini bakal menjadi pemangkin penting dalam menarik syarikat halal antarabangsa dan tempatan untuk beroperasi, berkembang serta berinovasi di Johor,” katanya.

Onn Hafiz berkata antara inisiatif utama pelaksanaan pelan itu ialah sasaran mendaftarkan 500 syarikat halal setiap tahun, mempercepat proses pensijilan dan menawarkan insentif menyeluruh kepada syarikat serta usahawan tempatan agar mampu menembusi pasaran lebih luas.

Iklan

Beliau berkata kerajaan negeri bersama PIJ Holdings Sdn Bhd (PIJ Holdings), PIJ Halal Ventures, Majlis Agama Islam Negeri Johor dan Jabatan Agama Islam Negeri Johor akan terus memperkukuh kerjasama bagi menyokong syarikat yang telah berjaya agar dapat berkembang ke peringkat lebih tinggi melalui sokongan pelaburan serta pengembangan pasaran.

"Insya-Allah, melalui pelaksanaan berfasa dan pemantauan teliti, Pelan Kemajuan Halal Johor 2030 akan memberi impak langsung kepada Johor dengan memperkukuh kedudukan sebagai hab ekonomi halal, seterusnya menjadikan negeri ini sebagai contoh pembangunan ekonomi islamik yang progresif di Malaysia,” katanya. - Bernama

Iklan