ALOR SETAR – Cubaan seorang lelaki tempatan untuk menyeludup dadah jenis ganja bernilai RM1.6 juta dari Thailand ke Malaysia gagal apabila dia bersama seorang lelaki warga Thailand ditahan oleh pihak berkuasa di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam pada petang Rabu.
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, suspek berusia 29 tahun yang bekerja sebagai penghantar kargo ditahan bersama seorang lagi lelaki warga Thailand yang bekerja sebagai pemandu teksi di Pekan Danok.
Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas kenderaan jenis Isuzu dengan nombor pendaftaran Thailand menemukan dua beg bagasi mengandungi 80 pek plastik mampat berisi bunga ganja seberat 45.552 kilogram.
"Siasatan awal mendapati suspek menerima bayaran antara RM1,000 hingga RM2,000 bagi setiap penghantaran dadah dari Thailand ke Malaysia, melalui sempadan Bukit Kayu Hitam dan Sungai Golok, Kelantan.
"Dadah tersebut dipercayai untuk pasaran di Lembah Klang dan Johor, dan dianggarkan boleh digunakan oleh lebih 30,000 penagih,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah pada Khamis.
Jelas beliau, kedua-dua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga 21 Mei bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Tambahnya, polis turut mengesan seorang individu yang dipercayai merupakan dalang utama sindiket berkenaan, dan hasil siasatan lanjut oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPK Johor membawa kepada penahanan dua lagi suspek pada 15 Mei, termasuk seorang lelaki yang mempunyai tujuh rekod kesalahan berkaitan narkotik.
"Polis akan terus komited dalam membanteras aktiviti pengedaran dadah rentas sempadan dan memastikan Malaysia kekal bebas daripada ancaman dadah,” katanya.