CEO GISBH, isteri gagal cabar penahanan bawah SOSMA

Iklan
Nasiruddin yang ditahan di Penjara Sungai Buloh, tidak dibawa ke Mahkamah Persekutuan di Putrajaya bagi prosiding rayuan habeas corpus atau penahanan secara salah, pada Khamis.

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Mahkamah Persekutuan di sini pada Khamis, menolak rayuan habeas corpus atau penahanan secara salah, difailkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH), Nasiruddin Mohd Ali dan isteri, Azura Md Yusof bagi mencabar penahanan mereka mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Panel tiga hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan demikian selepas mendapati permohonan Nasiruddin, 66, dan Azura, 58, selaku pemohon itu tidak mempunyai merit.

Iklan
Iklan

Dalam keputusan sebulat suara itu, beliau yang bersidang bersama Hakim-hakim, Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera berkata, mahkamah menolak rayuan mereka.

"Rayuan ini tidak bermerit, permohonan ditolak, keputusan Mahkamah Tinggi dikekalkan," katanya.

Iklan

Nasiruddin dan Azura memfailkan permohonan habeas corpus itu dengan menamakan Menteri Dalam Negeri, Ketua Polis Negara, Pendakwa Raya, Pengarah Penjara Negeri Selangor dan Wilayah Kuala Lumpur serta Kerajaan Malaysia, sebagai responden.

Semasa hujahan, peguam, Datuk Rosli Kamaruddin yang mewakili pasangan itu berkata, meskipun Mahkamah Tinggi membenarkan bantahan awal responden, namun permohonan habeas corpus masih boleh didengar dan diputuskan oleh mahkamah ini.

Iklan

Perkara sama dinyatakan oleh peguam, Najib Zakaria apabila menyatakan habeas corpus mempunyai isu undang-undang yang masih boleh dipertimbangkan oleh mahkamah tertinggi.

"Skop penahanan di bawah SOSMA perlu diteliti kerana ia bukan melibatkan pertuduhan atau perbicaraan yang biasa, sepatutnya remedi khas dibenarkan,'' katanya.

Bagaimanapun, Peguam Kanan Persekutuan, Mohd Zain Ibrahim menghujahkan, rayuan suami isteri itu wajar ditolak kerana mereka sepatutnya menggunakan saluran lain untuk mendapatkan jaminan, bukannya menerusi habeas corpus.