Bernas jamin beras putih cukup tampung keperluan pengguna

Iklan
KPKM mengumumkan penyelarasan harga Beras Putih Import (BPI) diselaraskan kepada RM2,600 per tan metrik di semua pintu gudang Bernas di seluruh negara, berkuat kuasa Khamis ini. Gambar hiasan

SHAH ALAM - Padiberas Nasional Berhad (Bernas) memberi jaminan bekalan beras putih mencukupi untuk memenuhi keperluan pengguna di negara ini.

Menerusi kenyataan syarikat itu menjelaskan, beras putih turut diimport daripada beberapa negara lain seperti Vietnam, Thailand dan Myanmar.

Iklan
Iklan

"Pendekatan ini dibuat bagi memastikan bekalan beras negara terjamin tanpa perlu bergantung kepada satu sumber dan dalam masa sama melindungi stok penimbal negara.

"Sebagai pelaksana Perjanjian Konsesi dengan kerajaan, Bernas komited melaksanakan tanggungjawab mengurus stokpail secara mampan dan memastikan ketersediaan bekalan beras di dalam negara," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Iklan

Sebelum ini Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Seri Mohamad Sabu mengumumkan beras putih import (BPI) diselaraskan kepada RM2,600 per metrik tan di semua pintu gudang Bernas berkuat kuasa hari ini.

Menurutnya, tindakan tersebut merupakan pelarasan kali kedua selepas penurunan harga pada 1 Disember tahun lalu daripada RM3,000 kepada RM2,800 per metrik tan.

Iklan

Dalam pada itu Bernas memaklumkan, pihaknya telah menjalankan tanggungjawab sosial terhadap komuniti pesawah.

Susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Februari lalu, pihaknya telah menyalurkan Peruntukan Bantuan Khas Pesawah berjumlah RM90 juta kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sebagai usaha kerajaan membela kebajikan pesawah miskin.

"Walau bagaimanapun, program subsidi BPI kerajaan bagi Sabah dan Sarawak masih diteruskan seperti biasa.

"Langkah proaktif ini mencerminkan komitmen berterusan Bernas dalam menyokong usaha kerajaan untuk memastikan keterjaminan bekalan makanan negara serta mengurangkan impak kenaikan harga pasaran global.

"Ia secara langsung membolehkan pengguna mendapatkan bekalan beras import pada harga lebih rendah, sekali gus membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat," menurutnya.