IPOH -"Dia bukan sekadar suami, tetapi penjaga setia kami sekeluarga yang sentiasa ada saat diperlukan.”
Demikian luahan pilu Haswati Rosdi, 44, isteri kepada anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Unit 5, Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif, yang terkorban dalam nahas jalan raya bersama lapan anggota lain di Teluk Intan pada Selasa.
Haswati berkata, arwah suaminya banyak berkorban demi keluarga, termasuk menjaganya dengan penuh kasih sayang selepas beliau diserang angin ahmar ringan dan hilang upaya berjalan pada 2018.
"Dialah yang bantu saya pulih semula sehingga boleh berjalan seperti biasa. Setiap kali ke hospital untuk rawatan susulan, dia akan menemani saya tanpa gagal.
"Malah, tiga anak saya daripada perkahwinan terdahulu juga dilayan seperti anak kandung sendiri,” katanya ketika ditemui di kediaman kuarters FRU di Sungai Senam di sini pada Rabu.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga lapan tahun lalu dan baru sahaja menyambut ulang tahun perkahwinan mereka bulan lalu.
Mengimbas kenangan terakhir bersama arwah, Haswati berkata kali terakhir beliau bertemu suaminya ialah pada pagi Isnin sebelum Damarrulan bertolak ke Teluk Intan untuk tugasan luar daerah.
"Kami sempat bersarapan bersama sebelum dia pulang berehat. Kebiasaannya sebelum keluar bertugas luar daerah, dia akan mencium dahi saya, tetapi hari itu tidak,” katanya dalam nada sebak.
Menurut Haswati, Damarrulan yang menyertai FRU sejak enam tahun lalu sempat mengirim gambar ketika berada dalam trak pasukan sekitar jam 8.35 pagi Selasa, sebelum keluarga menerima berita menyayat hati berhubung kemalangan berkenaan.
Sementara itu, anak sulung Haswati, Qaidah Thaqifah Mohd Yuslee, 23, berkata walaupun Damarrulan bukan bapa kandungnya, beliau tetap menganggapnya seperti ayah sendiri.
"Arwah sangat mengambil berat tentang ibu dan dua adik saya. Dia sanggup menjaga ibu yang ketika itu sakit sehinggalah pulih kembali.
"Pernah satu ketika sebelum saya pulang ke kampus di Universiti Malaysia Perlis, saya teringin makan ayam gepuk. Dia sanggup carikan tanpa sebarang rungutan,” katanya.
Qaidah mempunyai dua adik perempuan iaitu Qamarina Batrisyia, 21, dan Qarisya Safea, 17.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, sembilan anggota FRU maut apabila trak dinaiki mereka dirempuh sebuah lori membawa muatan batu kerikil ketika dalam perjalanan pulang ke pangkalan selepas selesai tugasan di Teluk Intan.
Lapan mangsa maut di lokasi kejadian, manakala seorang lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Teluk Intan.
Daripada sembilan lagi yang cedera, lima dilaporkan dalam keadaan kritikal, tiga dirawat di wad biasa dan seorang telah dibenarkan keluar hospital.