Hospital Putrajaya diiktiraf antara Hospital Terbaik Dunia 2025

Iklan
Hospital Putrajaya diiktiraf sebagai salah sebuah Hospital Terbaik Dunia 2025 oleh Newsweek dan Statista.

PUTRAJAYA - Hospital Putrajaya (HPj) melakar sejarah tersendiri apabila diiktiraf sebagai salah sebuah Hospital Terbaik Dunia 2025 oleh Newsweek dan Statista, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Beliau berkata, pengiktirafan itu bukan sekadar angka atau gelaran semata-mata, tetapi cerminan kepada dedikasi para doktor, jururawat dan petugas kesihatan yang bertungkus-lumus memberikan layanan terbaik kepada pesakit.

Iklan
Iklan

"Kejayaan ini adalah milik semua pesakit yang percaya dan memberi sokongan, keluarga yang setia menemani, serta masyarakat yang menghargai usaha murni wira kesihatan ini.

"Semoga Hospital Putrajaya terus menjadi lambang kecemerlangan dan inspirasi kepada seluruh institusi perubatan di tanah air,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Rabu.

Iklan

Semakan menerusi laman rasmi Newsweek dan Statista mendapati HPj menduduki tempat ke-29 dengan skor 71.59 peratus.

Sementara itu, bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah turut mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada seluruh warga Hospital Putrajaya atas pencapaian berprestij itu.

Iklan

Beliau berkata, pengiktirafan tersebut merupakan hasil daripada penilaian bebas dan telus berdasarkan beberapa parameter utama seperti cadangan serta penilaian daripada rakan profesional perubatan, metrik kualiti hospital dan pengalaman pesakit.

"Kejayaan ini adalah bukti komitmen berterusan setiap anggota hospital – daripada barisan hadapan hinggalah ke pentadbiran – dalam memberikan rawatan berkualiti tinggi, selamat, dan berfokuskan pesakit.

"Semoga pengiktirafan ini terus menjadi inspirasi untuk mengekalkan kecemerlangan dan memperkukuh lagi HPj sebagai pusat penjagaan kesihatan pilihan utama negara,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial. - Bernama