SUNGAI BULOH – Kegiatan perjudian seperti aktiviti sabung ayam dan loteri haram yang beroperasi dalam hutan di sini, terbongkar apabila polis menahan 124 individu dalam serbuan Op Dadu Mega pada Ahad lalu.
Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus berkata, operasi itu bagi mengekang aktiviti melibatkan perjudian sabung ayam, judi luar bangunan (permainan bola golek) dan loteri haram.
"Serbuan Op Dadu Mega ini dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman, yang melakukan risikan sejak Oktober tahun lalu
"Operasi itu dilaksanakan bersama Unit Dron Pasukan Gerakan Udara Bukit Aman, Unit Anjing Pengesan (K9) JSJ Bukit Aman dan Unit Veterinar Putrajaya dengan melibatkan kekuatan keseluruhan seramai 94 orang," katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Fadil berkata, dalam serbuan itu, seramai 124 orang berjaya ditahan iaitu 120 lelaki dan empat wanita dan mereka terdiri daripada 46 warga tempatan serta 78 warga Indonesia.
"Kita turut merampas 52 ekor ayam hidup, tujuh ekor ayam mati, 17 bilah senjata taji ayam yang diperbuat daripada besi dan satu alat penimbang berat bagi aktiviti perjudian sabung ayam serta peralatan permainan bola golek dan loteri awam tanpa lesen. Rampasan wang tunai keseluruhan ialah sebanyak RM145,855," katanya.
Beliau berkata, susulan tangkapan tersebut, polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 4A(A) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953, Seksyen 7(2) akta sama.
"Kita turut membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 32(1) Akta Kebajikan Haiwan 2015, Seksyen 32(2) akta sama dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.
Menurutnya, kes masih di peringkat awal siasatan dan orang ramai diminta menyalurkan sebarang maklumat terutama melibatkan aktiviti perjudian di kawasan masing-masing bagi membanteras jenayah itu daripada berleluasa.