Keputusan kes bunuh pelajar kolej vokasional 11 Jun ini

Iklan
Laporan Sinar Harian berkaitan kes bunuh pelajar kolej vokasional.

TAWAU – Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu menetapkan 11 Jun depan sebagai tarikh keputusan kes 13 pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu yang didakwa membunuh rakan sekolah mereka, Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, tahun lalu.

Hakim Datuk Duncan Sikodol menetapkan tarikh berkenaan semasa prosiding sebutan kes hari ini.

Iklan
Iklan

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abdul Latif memohon masa untuk pihak pendakwaan membalas hujahan daripada pihak pembelaan. Kes pendakwaan turut dikendalikan bersama oleh Timbalan Pendakwa Raya Ng Juhn Tao dan Batrisyia Mohd Khusri.

Pada 28 Februari lalu, Duncan memerintahkan 13 remaja berusia antara 16 hingga 19 tahun itu membela diri atas pertuduhan bersama-sama membunuh Mohamad Nazmie Aizzat, 17, di bilik asrama 7 Resak dan 5 Belian di Kolej Vokasional Lahad Datu antara jam 9 malam, 21 Mac hingga 7.38 pagi, 22 Mac 2024.

Iklan

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta tidak lebih 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pada 15 April lalu, prosiding pembelaan ditutup selepas 18 saksi, termasuk kesemua tertuduh, selesai memberi keterangan sejak pembelaan bermula pada 10 Mac.

Iklan

Semasa prosiding pembelaan, saksi pembelaan kesembilan yang juga tertuduh ketiga memberitahu mahkamah bahawa dia tidak melihat mangsa mencuri wang miliknya atau milik tertuduh keempat, malah memaklumkan bahawa tiada sesiapa melihat mangsa berbuat demikian.

Saksi pembelaan ketujuh yang juga tertuduh kedua pula memberitahu mahkamah bahawa dia telah menampar muka, memukul bahu, menendang serta memijak pinggang mangsa di bilik asrama 5 Belian bagi mendapatkan jawapan berhubung kes kecurian yang didakwa oleh tertuduh pertama dan seorang pelajar lain.

Pada 9 Disember tahun lalu, pihak pendakwaan menutup kes mereka selepas 25 saksi, termasuk pelajar dan guru kolej berkenaan, selesai memberi keterangan dalam perbicaraan yang bermula pada 19 November 2024.

Semasa prosiding pendakwaan, saksi ke-25, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu, ASP Suddin Tjinke, memaklumkan kepada mahkamah bahawa siasatan mendapati mangsa dipaksa mengaku mencuri selepas dipukul.

Pakar patologi forensik dan saksi pendakwaan kelima, Dr Dzureena Abdul Mutalib, memberitahu mahkamah bahawa terdapat 107 kecederaan ditemukan pada tubuh mangsa, iaitu 102 kesan lebam dan lima luka melecet.

Lapan daripada 13 remaja terbabit diwakili oleh peguam Datuk Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki dan Chen Wen Jye, manakala lima lagi diwakili oleh peguam Mohamed Zairi Zainal Abidin, Abdul Ghani Zelika, Vivian Thien, Jhesseny P. Kang serta Kusni Ambotuwo. - Bernama