KUALA LUMPUR – Polis masih mengesan suspek terlibat dalam membantu siasatan berkaitan kes mayat bayi lelaki yang masih bertali pusat dibuang ke dalam sungai di Jalan Klang Lama di sini pada Jumaat.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, siasatan mendapati bayi berkenaan dipercayai berusia tujuh bulan dalam kandungan ketika dibuang.
"Mayat bayi tersebut ditemukan dalam plastik hitam dan dipercayai telah dibuang kira-kira 48 jam sebelum dijumpai pihak polis.
"Setakat ini, kita masih belum dapat mengenal pasti suspek yang terlibat,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Program Derma Darah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini pada Rabu.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pihak forensik masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian bayi berkenaan sama ada meninggal dunia sebelum dibuang atau lemas.
"Berdasarkan siasatan awal, kita percaya mayat bayi itu dibuang tidak jauh dari lokasi penemuannya,” jelasnya
Terdahulu, media melaporkan penemuan mayat seorang bayi lelaki itu pada jam 2.05 petang, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood dilaporkan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan selepas seorang saksi ternampak objek menyerupai mayat bayi tersangkut pada batu berhampiran restoran tersebut sebelum menghubungi pihak polis.
Kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan cara membuang mayat.