Nahas FRU: PDRM pertimbang pergerakan anggota guna bas

Iklan
Razarudin

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang meneliti langkah keselamatan tambahan susulan insiden melibatkan lori Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang meragut nyawa sembilan anggotanya di Jalan Sungai Manik-Sungai Lampam, Teluk Intan pada Selasa.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, perbincangan akan diadakan bersama kepimpinan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) bagi mencari penyelesaian terbaik demi keselamatan anggota.

Iklan
Iklan

"Isu ini tidak hanya melibatkan FRU, pasukan lain di bawah KDNKA seperti Pasukan Gerakan Am (PGA) turut menggunakan lori jenis sama untuk pergerakan anggota.

"Kita sedang meneliti cadangan menambah baik sistem keselamatan dalam lori, struktur bangku panjang yang digunakan mungkin menimbulkan masalah dari segi keserasian dengan sistem penahan keselamatan yang ada," katanya pada Rabu.

Iklan

Katanya, antara langkah alternatif yang dipertimbangkan adalah penggunaan bas untuk membawa anggota ke lokasi operasi, namun terdapat kekangan bajet kerana jumlah anggota yang ramai memerlukan lebih daripada sebuah bas.

"Langkah lain yang sedang diperhalusi ialah penggunaan kereta peronda sebagai kenderaan pengiring konvoi.

Iklan

"Ini bermakna setiap konvoi akan dikawal oleh kereta peronda dan tugas pengiring akan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) lain apabila merentasi sempadan negeri," katanya.

Menurutnya, sebarang keputusan hanya akan dibuat selepas sesi libat urus bersama kepimpinan KDNKA kerana keselamatan anggota menjadi keutamaan utama.

Dalam kejadian jam 8.51 pagi di Kilometer 15 Jalan Sungai Manik itu, lapan anggota FRU disahkan maut di lokasi kejadian, manakala seorang meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Teluk Intan.

Siasatan awal mendapati, kejadian berlaku apabila sebuah lori muatan batu kerikil mengalami kegagalan fungsi stereng sehingga masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kenderaan FRU yang membawa 18 anggota.

Difahamkan pasukan FRU berkenaan dalam perjalanan balik ke Ipoh selepas tugasan kawalan perarakan sempena sambutan Hari Wesak.