KUALA TERENGGANU – Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM23,000 berkaitan kes dadah yang dikendalikannya empat tahun lalu.
Khairul Faiz Mohamad Zaini, 37, didakwa menerima suapan masing-masing berjumlah RM15,000 dan RM8,000 daripada seorang individu melalui pindahan ke akaun pihak ketiga sebelum dipindahkan ke akaun bank milik isterinya, sebagai balasan untuk melepaskan tiga individu yang ditahan serta membuang dadah jenis syabu daripada laporan polis berkaitan serbuan dan tangkapan yang dikendalikan.
Tertuduh didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di Pejabat Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu pada 26 Februari 2021.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Rabiatul Addawiyah Mohd Noorlee, memohon agar mahkamah tidak membenarkan jaminan atas alasan tertuduh kini bertugas di Kedah yang bersempadan dengan Thailand, dan dikhuatiri akan melarikan diri ke negara terbabit.
Namun, Khairul Faiz yang tidak diwakili peguam, memohon agar jumlah jaminan direndahkan atas beberapa faktor, termasuk beliau dan isterinya telah memberi kerjasama yang baik kepada SPRM sejak ditangkap pada Julai tahun lalu serta melapor diri ke pejabat SPRM setiap bulan.
Tambahnya lagi, beliau yang bergaji kira-kira RM7,000 sebulan menanggung banyak hutang dan isterinya tidak bekerja.
Hakim Mohd Azhar Othman kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan. Mahkamah turut menetapkan beberapa syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri ke pejabat SPRM terdekat setiap bulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak dibenarkan mengganggu saksi pendakwaan.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 18 Jun ini bagi penyerahan dokumen dan pelantikan peguam. - Bernama