SHAH ALAM -"Tak sampai hajat saya mahu jumpa dan belanja Wafi makan hujung bulan ini sempena dia tamat latihan, tak sangka dia 'pergi' dahulu".
Demikian luah kawan baik Allahyarham Konstabel Akmal Wafi Annuar, 28, yang terkorban bersama lapan anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Perak.
Penerbit Kandungan Digital, Abdul Muadzar Azizan, 28, berkata, pemergian sahabatnya itu memberikan kesan terhadap dirinya memandangkan mereka berkawan rapat sejak menuntut di Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (UniSHAMS) sesi 2015/2018.
Menurut pemuda tersebut, keperibadian arwah amat menyenangkan, sentiasa tersenyum, berfikiran positif, ceria dan gemar mengusik rakan-rakan, malah sering menjadi penggerak dalam apa jua perancangan.
"Saya ada baca tentang kemalangan tersebut, tetapi tak terfikir pula dia anggota FRU disebabkan Wafi baharu sahaja tamat latihan polis di Kuala Lumpur.
"Saya lupa yang dia sudah ditempatkan di Ipoh dan pagi semalam (Selasa) ada perkongsian di Instagram menunjukkan dia berada di dalam trak FRU.
"Dalam tempoh saya bersangka baik, kawan bantu juga dapatkan maklumat. Rupanya betul memang dia salah seorang mangsa, saya rasa macam dunia kosong dan hilang.
"Terus terimbas kenangan zaman belajar dahulu, kami memang rapat tetapi jarang bergambar bersama. Jadi, saya rasa terkilan," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Akmal Wafi merupakan antara sembilan anggota FRU yang terkorban dalam kemalangan trak bertembung lori muatan batu kira-kira jam 8.50 pagi pada Selasa.
Kemalangan itu turut mengakibatkan sembilan lagi anggota FRU cedera dan kini dirawat di Hospital Teluk Intan.
Terbaharu, jenazah Akmal Wafi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Tunku Abdul Rahman Putra (B), Kulim jam 11 pagi, Rabu.
Abdul Muadzar memaklumkan, arwah sentiasa titip pesanan supaya kekal merendah diri kerana setiap perkara yang berlaku pasti ada hikmah di sebaliknya.
"Semasa kami diberitahu bahawa dia diterima masuk sebagai anggota polis, memang banggalah kerana sebelum ini dia belajar dalam bidang lain dan tak terlibat apa-apa unit beruniform tetapi, dia memilih menjadi anggota FRU.
"Dengan fizikalnya yang tinggi, tegap dah kelihatan gagah, kami percaya dia boleh dan mampu berkhidmat sepenuh jiwa untuk negara.
"Walaupun sedih dengan pemergian ini, kami reda dan bersyukur kerana Wafi meninggal dunia dalam keadaan baik. Jasanya akan dikenang sampai bila-bila," ujarnya.