[VIDEO] Nahas FRU: Cuepacs gesa nilai semula SOP keselamatan kenderaan jabatan

Iklan

KOTA BHARU - Nahas menyayat hati yang mengorbankan sembilan anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan, Perak perlu menjadi amaran serius kepada kerajaan untuk segera menilai semula prosedur operasi standard (SOP) keselamatan pergerakan kenderaan jabatan.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Dr Adnan Mat menegaskan, sudah tiba masanya semua agensi kerajaan melakukan semakan dan penilaian menyeluruh terhadap SOP terbabit khususnya melibatkan pergerakan anggota menggunakan kenderaan jabatan yang berisiko tinggi.

Adnan (dua dari kanan) hadir merasmikan Seminar Pengukuhan Penguatkuasaan Akta Kesihatan Awam 2025, Kesatuan Inspektor Kesihatan Semenanjung Malaysia, Cawangan Timur di Kota Bharu pada Rabu. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID

Iklan
Iklan

"Kita tidak boleh anggap semua ini sebagai takdir semata-mata. Ia tragedi yang malang dan tidak diingini, tetapi tetap memerlukan semakan menyeluruh dari segi SOP, jumlah penumpang dan ciri keselamatan dalam kenderaan kerajaan.

"Kalau kita naik bas biasa pun ada tali pinggang keledar. Maka pengangkutan anggota bertugas dalam bentuk operasi atau kursus juga perlu dinilai, apakah sesuai dengan risiko dan keperluan keselamatan semasa,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Pengukuhan Penguatkuasaan Akta Kesihatan Awam 2025, Kesatuan Inspektor Kesihatan Semenanjung Malaysia, Cawangan Timur di sini pada Rabu.

Adnan

Menurut Adnan, meskipun Cuepacs yakin penilaian telah dilakukan sebelum sebarang pergerakan, namun kemalangan tersebut tetap memberi isyarat bahawa penambahbaikan perlu dilakukan segera.

Iklan

"Kita tidak mahu tragedi ini berulang. Kita mahu setiap penjawat awam yang keluar bertugas tahu bahawa SOP keselamatan mereka dijamin oleh majikan sendiri iaitu kerajaan,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau turut membangkitkan persoalan berkait jaminan perlindungan terhadap penjawat awam selepas kerajaan memansuhkan skim pencen bagi lantikan baharu.

Katanya, satu bentuk perlindungan menyeluruh perlu digariskan dalam skim perkhidmatan akan datang, termasuk dari segi pampasan, kebajikan waris dan keselamatan kerja.

Anggota kesatuan melafazkan ikrar intergriti. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID

"Kita tidak mahu selepas ini (seandainya) penjawat awam terkorban ketika bertugas, waris mereka terkapai-kapai tanpa jaminan sewajarnya hanya kerana skim lama sudah dimansuhkan,” katanya.

Dalam kejadian pada pagi Selasa, sembilan anggota FRU Unit 5 dari Pasukan Simpanan Persekutuan Sungai Senam maut manakala sembilan cedera selepas trak konvoi dinaiki mereka yang dalam perjalanan pulang dari tugasan keselamatan di Perayaan Chitra Pournami di Teluk Intan bertembung dengan lori bermuatan batu kerikil.

Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay mengumumkan waris kepada semua mangsa akan menerima pampasan antara RM58,000 hingga RM269,700 termasuk bantuan RM25,000 daripada Tabung Amanah Perwira dan Pertahanan Negara.