IPOH - Seorang daripada sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang cedera dalam nahas di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan pada Selasa telah dibenarkan keluar dari hospital.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan berkata, mangsa dibenarkan keluar pada pagi Rabu sementara lapan rakannya yang lain masih memerlukan rawatan rapi.
"Daripada laporan yang saya terima pada pagi ini, lima lagi mangsa masih berada dalam keadaan kritikal dengan empat ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Teluk Intan dan seorang lagi di ICU Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.
"Tiga mangsa lain yang sebelum ini turut menerima rawatan kini telah dipindahkan ke wad biasa dan dilaporkan dalam keadaan stabil," katanya kepada pemberita semasa mengadakan kunjungan ke kediaman mendiang Sarjan S Perumal di Lahat di sini pada Rabu.
Sivanesan berkata, kerajaan negeri akan memastikan kebajikan semua mangsa dan keluarga terbela, termasuk mereka yang cedera parah serta waris yang kehilangan insan tersayang.
Katanya, dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) akan datang, pihaknya akan membincangkan langkah-langkah susulan serta bentuk bantuan yang sesuai kepada mangsa dan waris.
"Ini satu tragedi yang warga Perak tidak akan lupakan.
"Jadi kerajaan negeri akan mengambil pendekatan sama seperti yang pernah dilaksanakan ketika tragedi nahas helikopter pada tahun lalu.
"Malah waktu Covid-19 dahulu, kita beri jaminan untuk bantu anak-anak yang kehilangan ibu bapa akibat wabak itu sehingga mereka tamat pengajian peringkat ijazah pertama. Kita tepati janji itu. Prinsip sama akan diguna pakai dalam kes ini," katanya.
Dalam kejadian jam 8.51 pagi di Kilometer 15 Jalan Sungai Manik itu, lapan anggota FRU disahkan maut di lokasi kejadian, manakala seorang meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Teluk Intan.
Mereka adalah Sarjan S Perumal, 44; Sarjan Mohd Roslan Abd Rahim, 46; Koperal Nurit Pandak, 34; Koperal Mohd Pozli Jaudin, 41; dan Koperal Mohamad Hilmi Mohd Azlan, 38.
Turut terkorban, Koperal Amiruddin Zabri, 38; Koperal Muhamad Akmal Muhamad, 35; Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif, 33; dan Konstabel Akmal Wafi Annuar, 28.
Siasatan awal mendapati, kejadian berlaku apabila sebuah lori muatan batu kerikil mengalami kegagalan fungsi stereng sehingga masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kenderaan FRU yang membawa 18 anggota.