SEREMBAN - Seorang pemuda mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas dua pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan di dalam kelas sebuah sekolah di sini, dua tahun lalu.
Tertuduh yang berusia 17 tahun sembilan bulan ketika kejadian membuat pengakuan itu di hadapan Hakim, Datin Surita Budin selepas kertas pertuduhan dibacakan.
Mengikut dua pertuduhan yang dibacakan berasingan, tertuduh yang kini berusia 20 tahun didapati melakukan amang seksual terhadap seorang gadis berusia 17 tahun lima bulan (ketika kejadian).
Kesalahan itu dilakukan pada 22 November 2023, jam lebih kurang 3.05 petang di dalam kelas sebuah sekolah menengah di Seremban.
Berikutan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14(b) dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebat.
Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni menawarkan jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis setiap bulan sehingga kes selesai dan tidak menganggu mangsa dan saksi pendakwaan.
Peguam, Shameera Abdul Hamid memohon mahkamah mengambil kira umur tertuduh ketika kejadian iaitu 17 tahun sembilan bulan dan adalah wajar mahkamah mempertimbangkan untuk mengguna pakai Akta Kanak-Kanak 2017.
Beliau memohon tertuduh diikat jamin sementara menunggu laporan akhlak disediakan dengan kadar jamin yang munasabah dan tidak membebankan.
Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan syarat-syarat tambahan dimohon pihak pendakwaan.
Sebutan semula kes untuk laporan akhlak 20 Jun ini.