TELUK INTAN – Polis akan memanggil lebih 60 individu untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan kemalangan yang mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Jalan Chikus-Sungai Lampam di sini, pagi Selasa.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin berkata, individu yang akan dipanggil termasuk anggota FRU yang berada di lokasi kejadian serta pemilik syarikat lori yang membawa muatan batu dan terlibat dalam kemalangan tersebut.
"Ini bagi mengelakkan siasatan bersifat berat sebelah. Kita akan melihat siasatan dari semua sudut, iaitu kecuaian manusia, isu teknikal melibatkan kenderaan serta isu persekitaran,” katanya kepada pemberita di pekarangan Mahkamah Majistret di sini pada Rabu.
Beliau turut meminta orang awam yang mempunyai maklumat berhubung insiden tersebut agar tampil membantu siasatan polis.
Sementara itu, Dr Bakri memaklumkan seorang anggota FRU kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, kerana mengalami pendarahan dalaman dan di kepala, selain cedera pada bahagian abdomen.
Beliau berkata, lapan lagi anggota FRU yang turut cedera dalam kejadian itu masih menerima rawatan susulan di Hospital Teluk Intan.
Dalam kejadian jam 8.50 pagi Selasa, sebuah trak FRU yang membawa 18 anggota dari Unit 5 berpangkalan di Sungai Senam, Ipoh, terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori membawa muatan batu semasa perjalanan pulang selepas tamat tugas sempena perayaan Chitrapournami di sini.
Kemalangan tersebut mengakibatkan sembilan anggota FRU maut, dua parah manakala tujuh lagi cedera.
Majistret Naidatul Athirah Azman hari ini mengeluarkan perintah reman selama empat hari terhadap pemandu lori berusia 45 tahun itu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama