KOTA BHARU - Seorang adik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas atas pertuduhan menikam bahagian rusuk abangnya menggunakan tulang ekor pari di sebuah rumah di Bachok pada 1 Mei lalu.
Pengakuan tidak bersalah dibuat tertuduh berusia 36 tahun itu selepas pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mengikut pertuduhan, Mohd Izwan Sukarnor yang merupakan seorang penganggur dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah dengan menikam abangnya, Mohd Fakhran, 40, menggunakan tulang ekor pari.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Pauh Jabit, Beris Kubur Besar di Bachok pada jam 9.30 pagi.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat jika sabit kesalahan.
Bagi Seksyen 326A Kanun Keseksaan, tertuduh boleh dihukum penjara bagi suatu tempoh dua kali ganda daripada tempoh maksimum yang ditetapkan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Hasyime Rosli manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan kes disebut semula pada 16 Jun depan.
Difahamkan, berlaku pertikaman lidah antara tertuduh dan abangnya sehingga menyebabkan lelaki itu berang sebelum menikam bahagian rusuk mangsa dengan tulang ekor pari.