TELUK INTAN – Keadaan jalan yang sempit dan ketiadaan lampu isyarat dipercayai antara faktor utama berlakunya kemalangan maut di Jalan Chikus-Sungai Lampam di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Sungai Lampam Kanan, Mohammed Nadzri Mat Taib berkata, keadaan bertambah buruk dan berisiko apabila lori yang membawa muatan pasir serta batu kerap menggunakan laluan berkenaan.
"Pemandu lori ini memandu laju dan pernah beberapa kali terbabas serta terjatuh ke dalam parit di lokasi itu. Di sini terdapat pelbagai kemudahan seperti tali air, tadika, lorong masuk ke kampung-kampung dan gerai makanan.
"Oleh itu, laluan bersimpang-siur di kawasan ini dan kebarangkalian orang kampung keluar masuk secara melulu untuk pergi bekerja serta menghantar anak ke sekolah boleh mengundang bahaya,” katanya kepada Bernama.
Mohammed Nadzri berkata, lori-lori yang menggunakan jalan itu difahamkan berkaitan projek perumahan di kawasan berhampiran dan mengejar jadual penghantaran ke lokasi pembinaan.
Lori Dipandu Laju, Infrastruktur Tidak Selamat
"Saya juga pernah menyuarakan perkara ini dalam mesyuarat – berbincang apa tindakan yang boleh diambil, termasuk cadangan pembesaran jalan.
"Selain itu, terdapat sebuah jambatan kecil yang menyeberangi tali air dan jika berlaku perselisihan kenderaan, memang berbahaya,” katanya.
Menurutnya, beliau tidak menafikan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ada menjalankan rondaan serta penguatkuasaan, namun pelaksanaan secara berkala tidak memberi kesan signifikan terhadap pemandu lori yang menggunakan laluan itu.
Sementara itu, seorang petani, Mustafa Rahman, 50, berkata, kawasan yang meragut sembilan nyawa anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) itu merupakan laluan utama lori yang mengangkut pasir dan batu, dipercayai dibawa ke Selangor.
"Memang lori-lori yang melalui kawasan ini pada waktu pagi membawa muatan pasir atau batu, dan mereka memandu dengan laju. Saya sendiri, kalau hantar anak ke sekolah, tak berani naik motosikal – jalan sempit, lori pula laju.
"Mungkin sebab laluan ini tiada tanda amaran, tiada had kelajuan dipaparkan dan tiada lampu isyarat menyebabkan kemalangan berlaku. Ini tragedi paling buruk pernah berlaku di sini kerana meragut banyak nyawa,” katanya.
Beliau berkata, sebelum ini ada perancangan untuk membesarkan jalan tersebut dan telah diluluskan, namun difahamkan permohonan itu dibekukan. Penduduk kini berharap pelaksanaan semula projek itu dapat diteruskan bagi mengelakkan lebih banyak kehilangan nyawa.
Dalam kejadian jam 8.50 pagi semalam, sembilan anggota FRU Unit 5 yang berpangkalan di Sungai Senam, Ipoh, maut selepas trak yang dinaiki mereka bertembung dengan lori muatan batu kerikil. Lapan anggota maut di tempat kejadian, manakala seorang lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Teluk Intan. - Bernama