Sarjan Roslan selamat dikebumi, anak kesat air mata

Iklan
Muhammad Rizqi Nazhan, 9, bersama datuknya, Samiun Sarif, 73, menyirami pusara Allahyarham Mohd Roslan di Tanah Perkuburan Islam Meru Raya, Ipoh. Foto SINAR HARIAN

IPOH – Jenazah Sarjan Mohd Roslan Abd Rahim, yang terkorban dalam nahas jalan raya membabitkan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Meru Raya di sini pada jam 5.20 pagi, Rabu.

Upacara pengebumian Allahyarham Mohd Roslan, 46, dilaksanakan dengan penuh adat istiadat polis dan dihadiri hampir 100 orang, termasuk ahli keluarga, saudara-mara serta rakan setugas.

Iklan
Iklan

Suasana pilu menyelubungi kawasan perkuburan apabila tiga anak Allahyarham, Muhammad Raqin Najmi, 13; Muhammad Rizqi Nazhan, 9; dan Nur Aqeela Rawida, 6; mengiringi pengebumian sambil mengesat air mata ketika menatap wajah terakhir ayah mereka.

Pegawai Penjaga Trup FRU Unit 5 Sungai Senam, Asisten Superintendan Yamin Mat Zaid turut menyerahkan Jalur Gemilang kepada adik kandung Allahyarham, Mohamad Hazizi Abd Rahim, 35, sebagai simbol penghargaan kerajaan terhadap jasa bakti dan pengorbanan Allahyarham.

Iklan

Terdahulu, jenazah tiba di tanah perkuburan pada jam 4.43 pagi, diiringi kenderaan polis selepas upacara istiadat penghormatan terakhir selesai di Markas FRU Unit 5, Sungai Senam.

Allahyarham Mohd Roslan, yang cedera parah dalam kejadian tersebut, disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Teluk Intan.

Iklan

Nahas yang berlaku pada jam 8.51 pagi di Jalan Chikus–Sungai Lampam, Teluk Intan turut mengakibatkan lapan lagi anggota FRU disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Mereka ialah Sarjan S. Perumal, 44; Koperal Nurit Pandak, 34; Koperal Mohd Pozli Jaudin, 41; Koperal Mohamad Hilmi Mohd Azlan, 38; Koperal Amiruddin Zabri, 38; Koperal Muhamad Akmal Muhamad, 35; Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif, 33; dan Konstabel Akmal Wafi Annuar, 28.

Siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila sebuah lori muatan batu kerikil mengalami kegagalan fungsi stereng sehingga masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kenderaan FRU yang membawa 18 anggota.