Produk kraf import murah ganggu pasaran tempatan

Iklan
Peniaga kraftangan tempatan mampu menarik nafas lega dan boleh 'cari makan' apabila produk kraf semakin diminati malah mendapat permintaan begitu memberangsangkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. - Gambar hiasan

PENIAGA kraftangan tempatan mampu menarik nafas lega dan boleh 'cari makan' apabila produk kraf semakin diminati malah mendapat permintaan begitu memberangsangkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Namun di sebalik perkembangan itu, timbul kebimbangan dalam kalangan peniaga tentang saingan produk kraf import murah di pasaran.

Iklan
Iklan

Ikuti laporan wartawan Sinar Harian, NIK AMIRULMU'MIN NIK MIN menyingkap suara hati peniaga produk kraftangan di Serambi Teruntum, Kuantan berhubung isu berkenaan.

PRODUK kraf luar yang ditawarkan dengan harga sangat rendah boleh mengaburi pengguna terutama yang kurang faham aspek kualiti, nilai estetika dan keasliannya.

Iklan

Ayu Ayuni Mansor yang sudah lebih lapan tahun berniaga produk kraftangan berkata, disebabkan itu kebimbangan peniaga mengenai saingan itu ada asasnya apatah lagi banyak produk kraf dari negara luar berada dalam pasaran tempatan ketika ini.

Bagaimanapun, katanya, masalah itu belum terlalu ketara ketika ini dan tidak berlaku di Serambi Teruntum kerana semua peniaga di situ hanya menjual barangan kraf tempatan.

Iklan

"Sebagai peniaga kita akui produk kraf tempatan harganya agak tinggi namun berkualiti.

"Kraf kita dihasilkan dengan penuh ketelitian, berseni dan unik, sebab itu ia bernilai tinggi. Berbeza dengan produk dari luar yang murah dan berkualiti rendah,” katanya.

Dia bimbang sekiranya produk kraf dari luar masuk secara meluas dengan harga murah, kelihatan cantik dan lebih komersial, pengguna akan tertarik untuk memilih produk tersebut.

"Saingan timbul contohnya bila pengguna yang berhasrat ke sini (Serambi Teruntum) untuk mencari barang kraf tetapi terjumpa yang murah dan cantik (import) di luar sana jadi sudah tentu mereka pilih yang itu,” katanya.

Ujar Ayu Ayuni, 49, produk kraftangan dari pelbagai negeri termasuk dari Pahang memang ada permintaan dan mempunyai peminat tersendiri.

"Sekarang memang trend dekorasi rumah, kafe atau majlis guna konsep tradisional etnik termasuklah penganjuran acara jualan seperti Pasar Sera di Kuantan ini.

"Ramai yang datang cari kraf sesuai untuk dekorasi masing-masing dan perkembangan ini suatu yang positif bagi kami di sini,” katanya.

Sementara itu, Salimah Omar yakin produk luar ketika ini tidak dapat menandingi kualiti produk kraf tempatan.

"Produk kita berkualiti tinggi, menggunakan bahan asli berbanding produk luar terutama dari China menggunakan plastik atau bahan kitar semula.

"Cuma saya agak bimbang akan datang ada produk kraf tiruan dari luar yang tiru produk kita dan dijual pula pada harga murah

"Misalnya ada bakul rotan tiruan yang dibuat dari plastik dijual dengan harga murah, pengguna biasa mungkin tertarik dan membeli kerana tidak dapat bezakan kualitinya,” katanya.

Salimah, 66, berkata, sekiranya berlaku lambakan produk kraf luar, masalah itu bukan hanya menjejaskan peniaga sepertinya tetapi akan melibatkan rantaian industri kraf tempatan keseluruhannya.

"Pengusaha mungkin akan gulung tikar dan pembekal juga berkemungkinan beralih kepada produk tiruan yang lebih menguntungkan,” katanya.

Norbaiti Alias pula mengakui, di sebalik kelegaan melihat permintaan terhadap produk tempatan semakin meningkat sejak kebelakangan ini, timbul juga kebimbangan tentang isu itu.

Katanya, ramai pelanggan termasuk dalam kalangan generasi muda datang ke ke kedainya mencari produk kraf yang sesuai untuk hiasan rumah atau untuk dijadikan aksesori.

"Ada juga cari kraf sebagai cenderahati untuk majlis, buah tangan malah tidak kurang untuk digunakan sendiri.

"Ini satu perkembangan baik bagi kami sejak dua atau tiga tahun kebelakangan ini sebab itu kena kawal kemasukan produk luar supaya pihak-pihak yang bergantung kepada industri kraf tempatan tidak terjejas dan boleh terus mencari makan,” katanya.

Ujar Norbaiti, 25, peniaga kraf di Serambi Teruntum setakat ini hanya menjual produk tempatan yang berkualiti termasuk dari Melaka, Terengganu, Pahang dan Kelantan yang diterima dari pembekal.

Kelangsungan perniagaan produk kraf tempatan perlu sokongan

Permintaan memberangsangkan terhadap produk kraftangan tempatan kebelakangan ini membuktikan hasil seni warisan itu masih mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.

Peniaga barangan kraftangan, Rosizah Mohd Tawil berkata, situasi itu didorong pelbagai faktor termasuk trend semasa.

Rosizah menunjukkan antara produk kraf yang dijual di gerainya di Serambi Teruntum yang kini menjadi tumpuan peminat kraftangan tempatan.

Menurutnya, industri dan perniagaan kraf tempatan mampu bertahan dan pergi lebih jauh sekiranya isu saingan produk kraf murah dari negara luar ini ditangani melalui langkah-langkah berimpak dan berterusan.

"Selain kawalan terhadap kemasukan produk luar yang tidak berkualiti, kerajaan melalui agensi berkaitan seperti Kraftangan Malaysia disaran menyediakan inisiatif khusus bagi menggalakkan pengusaha barangan kraftangan yang 'bersara' kembali bergiat aktif.

"Langkah ini bagi memastikan lebih banyak produk tempatan dapat dihasilkan bagi menampung permintaan dengan harga yang lebih berpatutan.

"Pada masa sama, program latihan juga perlu dipergiatkan lagi bagi melahirkan lebih ramai pelapis dalam industri ini,” katanya.

Rosizah, 44, berpandangan, kempen kesedaran terhadap produk kraf tempatan juga menjadi antara langkah wajib untuk dilaksanakan bagi mendidik masyarakat khususnya generasi muda terhadap seni, kualiti dan keunikkan sesuatu produk itu.

"Ini secara tidak langsung dapat memberi kefahaman terhadap keunikan dan kelebihan produk kraf kita berbanding produk luar.

"Penganjuran acara jualan berkonsepkan tradisional seperti Pasar Sera juga perlu diperbanyakkan kerana ia secara tidak langsung dapat membantu peniaga kraf seperti kami ini,” katanya.

Selain itu, katanya, agensi kerajaan juga wajar menjadikan produk kraf tempatan sebagai cenderahati majlis-majis rasmi yang dianjurkan dan mendapatkannya terus dari peniaga setempat.