CILACAP - [DIKEMAS KINI] Sebuah rakaman tular memaparkan tindakan melampau seorang asisten rumah tangga (ART) atau bibik selamba menampar majikannya.
Kejadian itu berlaku di Desa Kepara Kulon, Kecamatan Binangun, Kabupaten Cilacap, Jawa Tengah di Indonesia dan mengundang kemarahan warganet.
Menerusi klip dikongsi pemilik akaun Konten Berfaedah di platform X pada Sabtu, pembantu rumah dikenali sebagai MC dilihat terlibat pergaduhan mulut dan menampar majikannya sebelum dileraikan seorang lelaki dipercayai jiran tetangga.
Menurut majikannya, MC baru bekerja selama tiga minggu, namun sejak dari awal dia sering naik angin jika menerima arahan untuk melakukan sesuatu kerja daripada ibunya yang juga tinggal di rumah sama.
"Dia tidak suka kalau ibu saya mengaturkan pekerjaannya. Bahkan sampai mengeluarkan kata makian terhadap ibu saya di WhatsApp," ujar wanita itu menerusi kenyataan yang kini tersebar di media sosial.
Majikannya menjelaskan, dia cuba untuk menyelesaikan masalah, namun MC semakin agresif dan dia sendiri mengaku tidak dapat mengawal kemarahan dan boleh bertindak melampaui batas.
Warganet yang berang dengan tindakan bibik itu menggesa insiden tersebut dilaporkan kepada pihak berkuasa.
Susulan kejadian itu, hashtag #TamparMajikan dan #ARTViralCilacap turut digunakan secara meluas di pelbagai platform.
Setelah perbuatannya dikecam ramai, MC tampil membuat permohonan maaf sambil menangis.
"Bagi keluarga saya ataupun keluarga orang lain (saya minta maaf). Saya juga mahu memberitahu kepada semua bahawa majikan saya sentiasa memperlakukan saya dengan baik," ujarnya. - Agensi