Pelajar tipu ibu sendiri: Tuntut RM2.9 juta dengan video ‘culik’ palsu

Iklan
Yingxi berbaju hitam (dua dari kanan) dan Runbao bertopi biru (empat dari kiri) dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Selasa bagi menghadapi pertuduhan menipu bagi mendapatkan wang tebusan berjumlah RM2.9 juta.

KUALA LUMPUR - Dua lelaki warga China yang menuntut di sebuah universiti di Singapura mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas satu pertuduhan menipu ibu kepada salah seorang tertuduh, kononnya diculik bagi mendapatkan wang tebusan berjumlah RM2.9 juta.

Zhang Runbao, 23, dan Ye Yingxi, 18, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Azrul Darus.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, dua lelaki itu didakwa cuba memperdaya Cheng Zhiwen, 40, dengan cara menipu iaitu membuat panggilan dan menunjukkan video perbuatan anak wanita berkenaan iaitu Yingxi telah diculik, berada dalam keadaan separuh bogel, tangannya diikat, mulut ditutup dengan pelekat hitam, leher dicekik, dipijak dan mukanya dituang dengan air.

Tertuduh kemudiannya membuat ugutan dan pemerasan meminta wanita itu memasukkan duit tebusan mata wang Chinese Yuan sebanyak ¥5 juta bersamaan RM2.9 juta ke satu akaun di China.

Iklan

Sedangkan perbuatan itu merupakan lakonan bagi mendorong mangsa menyerahkan wang yang mana Zhiwen tidak akan bertindak seperti itu sekiranya tidak diperdayakan.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah hotel di Jalan Tuanku Abdul Rahman, antara jam 11.44 pagi dan 9.15 malam, 2 Mei lalu.

Iklan

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 dan 34 kanun sama, yang membawa hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebatan dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi Seksyen 511 kanun itu, ia memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih daripada separuh tempoh diperuntukkan bagi kesalahan di bawah Seksyen 420.

Dalam pada itu, mereka turut mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan pilihan, memperdaya mangsa dengan cara sama bagi tujuan serupa di lokasi tarikh dan masa yang sama.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Syafina Radzuan manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Ernie Sulastri Ahmad dan Ramesh Sivakumar.

Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM30,000 dengan dua penjamin termasuk syarat tambahan, menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Sebutan kes itu ditetapkan pada 27 Mei ini.