KANGAR - Cadangan pembinaan sebuah kafe di Gua Cenderawasih, Bukit Lagi mendapat bantahan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bimbang tindakan itu akan menjejaskan warisan geologi berusia ratusan juta tahun.
Setiausaha Persatuan Mendaki Negeri Perlis (Perlis Climbers), Mohd Aizat Zahid berkata, pihaknya bersama beberapa NGO lain menyuarakan kebimbangan terhadap sebarang bentuk pembangunan di kawasan sensitif seperti gua batu kapur tanpa kajian menyeluruh atau berpandukan prinsip pemeliharaan alam semula jadi.
Menurutnya, antara NGO yang menyokong pendirian tersebut ialah Perlis Nature Xplorer, Persatuan Malim Gunung Perhutanan Perlis (MGP Perlis), Grass Malaysia (Perlis), Komuniti Geopark Perlis dan Rakan Strategik Geopark Perlis.
"Gua Cenderawasih merupakan sebahagian daripada formasi Setul berusia kira-kira 480 juta tahun dan dikenal pasti sebagai salah satu geotapak utama di bawah Geopark Perlis.
"Formasi batu kapur ini antara yang tertua di Asia Tenggara, ia turut memiliki nilai saintifik dan konservasi yang sangat tinggi seperti kehadiran fosil, stalaktit, stalagmit serta ekosistem gua yang unik,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Mohd Aizat berkata, pembinaan kafe tanpa kajian mendalam boleh menyebabkan kerosakan kekal terhadap warisan geologi dan ekologi yang tidak ternilai ini.
"Kesemua NGO terlibat berharap kerajaan negeri dan pihak berkaitan mengambil langkah segera melaksanakan kajian teknikal bebas melibatkan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), pakar geologi, ekologi dan pemuliharaan gua sebelum sebarang pembangunan dijalankan,” katanya.
Tambahnya lagi, cadangan lain termasuk mengadakan rundingan awam yang menyeluruh melibatkan komuniti saintifik, NGO, masyarakat setempat serta penggiat industri pelancongan.
"Wujudkan garis panduan khusus bagi sebarang aktiviti pembangunan dalam atau berhampiran tapak geologi berstatus geopark. Kajian JMG sejak 2018, Bukit Lagi dikenal pasti sebagai salah satu geotapak utama dalam Geopark Perlis, kerana memiliki fosil dan nilai geologi luar biasa,” jelasnya.
Sehubungan itu, tegasnya, sebarang tindakan tergesa-gesa boleh menjejaskan peluang Geopark Perlis untuk meraih pengiktirafan UNESCO Global Geopark.
"Geopark Perlis baru diiktiraf di peringkat kebangsaan dan berada dalam laluan ke arah pengiktirafan UNESCO Global Geopark. Segala bentuk pembangunan di zon geopark harus mencerminkan komitmen terhadap pemeliharaan nilai geologi, warisan budaya dan pendidikan awam.
"Tindakan tergesa-gesa, walaupun dengan niat baik, berpotensi menjejaskan reputasi dan peluang geopark ini di peringkat antarabangsa,” ujarnya.
Mengulas mengenai tindakan mengecat dinding gua bagi menutup kesan vandalisme, katanya, ia tetap mengganggu kestabilan batu kapur serta keseimbangan mikroekosistem dalam gua walaupun cat digunakan bersifat sementara.
"Bahan kimia dalam cat boleh mengubah kelembapan permukaan batu dan menjejaskan pertumbuhan mineral karbonat serta biofilm semula jadi yang penting dalam ekologi gua. Ia juga menyukarkan kajian saintifik pada masa hadapan,” katanya.
Dalam pada itu, NGO terlibat turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan atas usaha menangani vandalisme dan kebersihan, namun menegaskan pemeliharaan gua tersebut harus menjadi keutamaan.
"Pembangunan tanpa kawalan bukan sahaja ganggu habitat seperti kelawar dan serangga gua, malah memberi tekanan terhadap struktur batuan serta mengubah mikroiklim gua.
"Kami meminta semua pihak untuk kekalkan integriti saintifik dan kelestarian alam dalam setiap keputusan.
"Pemeliharaan Gua Cenderawasih bukan sekadar tanggungjawab teknikal, tetapi amanah bersama untuk generasi akan datang,” katanya.
Mohd Aizat yang juga Pengerusi MGP Perlis menjelaskan sebarang binaan biarpun bersifat sementara dan tidak melibatkan bahagian utama gua, selain aktiviti manusia yang berlebihan tetap memberi tekanan kepada struktur semula jadi dan komuniti biologi dalam gua.
Pihaknya turut melancarkan satu petisyen bantahan terhadap pembinaan kafe tersebut di laman sesawang Change.org pada 9 Mei sehingga kini lebih 1,212 orang telah menandatangani petisyen berkenaan sebagai tanda sokongan terhadap usaha pemeliharaan gua terbabit.