Kapal tangki ‘rosak’ rupanya cuba seludup 200,000 liter diesel bersubsidi

Iklan
Jezlily diberikan taklimat berhubung penemuan diesel bersubsidi disyaki cuba diseleweng yang ditemui dalam kompartmen kapal tangki yang berlabuh di sebuah jeti di Tanjung Pahang.

PEKAN - Penemuan sebuah kapal tangki 'rosak' yang berlabuh dalam keadaan mencurigakan di sebuah jeti di Kuala Pahang di sini membongkar cubaan seleweng 200,000 liter diesel bersubsidi, Ahad lalu.

Diesel bersubsidi dianggarkan bernilai RM480,000 itu ditemui dalam lapan kompatmen tangki penyimpanan kapal yang dipercayai berdaftar di negara ini.

Iklan
Iklan

Pengarah KPDN Pahang, Jezlily Jamaluddin berkata, hasil pemeriksaan ke atas kapal itu, pihaknya turut menahan kapten kapal dan seorang krew warga asing berdokumen berusia dalam lingkungan 40-an untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, ketika siasatan awal dilakukan, kapten kapal mendakwa kapal itu terpaksa berlabuh kerana mengalami kerosakkan manakala diesel yang dibawa untuk diagihkan kepada 30 kapal lain milik syarikat yang dikatakan berpangkalan di Miri, Sarawak.

Kompartmen tangki kapal digunakan untuk menyimpan diesel bersubsidi yang dipercayai cuba diselewengkan.

Iklan

"Ketika diperiksa, kapten kapal diadakan gagal mengemukakan sebarang dokumen sah daripada Pengawal Bekalan berkaitan pemilikan atau urus niaga barang kawalan itu.

"Keterangan yang diberikan juga meragukan kerana hasil risikan sejak dua bulan lalu mendapati berlaku pergerakan keluar masuk lori tangki ke jeti tersebut," katanya ketika ditemui di lokasi pada Selasa.

Iklan

Jezlily berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan diesel dari kapal ini dipindahkan ke lori-lori tangki sebelum diselewengkan.

Menurutnya lagi, bekalan diesel dan kapal dianggarkan bernilai RM85,000 telah disita dengan jumlah rampasan keseluruhan RM565,000.

"Selaras dengan inisiatif 'Kita Gempur', KPDN Pahang mengingatkan semua pihak bahawa pemilikan dan pengedaran barang kawalan seperti minyak diesel tanpa lesen yang sah adalah satu kesalahan serius di bawah undang-undang negara.

Jezlily melakukan tinjauan susulan penemuan diesel bersubsidi disyaki cuba diseleweng dalam kompartmen kapal tangki yang berlabuh di sebuah jeti di Tanjung Pahang.

"Tindakan tegas akan terus diambil bagi membanteras aktiviti penyeludupan dan penyelewengan barang kawalan di perairan negara," katanya.

Beliau berkata, mana-mana pihak yang melakukan kesalahan itu boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB)1961 dengan denda tidak melebihi RM2 juta dan bagi kesalahan berikutnya, didenda tidak melebihi RM5 juta bagi pertubuhan perbadanan.

"Bagi individu, denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan berikutnya, denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya," katanya.