TELUK INTAN - [DIKEMAS KINI] Pemandu lori muatan batu yang terbabit dalam nahas mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Jalan Chikus -Sungai Lampam di sini pada Selasa mempunyai enam rekod kesalahan lampau.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, semakan mendapati, lelaki berusia 45 tahun tersebut pernah terlibat dalam beberapa kesalahan termasuklah rogol dan dadah.
Menurut beliau, rekod juga menunjukkan lelaki berkenaan yang berpengalaman sebagai pemandu lori selama 20 tahun pernah melakukan beberapa kesalahan lalu lintas di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Ujian air kencing telah dilakukan dan keputusannya lelaki itu negatif daripada sebarang jenis dadah.
"Pemandu terbabit telah ditahan dan siasatan lanjut akan dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam sidang akhbar di Unit Forensik Hospital Teluk Intan di sini.
Beliau berkata, bedah siasat ke atas sembilan anggota yang terkorban dilakukan bermula jam 2.30 petang dan dijangka selesai pada 8 malam.
Katanya, sebaik proses bedah siasat selesai, jenazah akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak untuk solat jenazah sebelum ke Markas Pasukan Simpanan Persekutuan Unit 5,
Sungai Senam, Ipoh bagi penghormatan terakhir.
"Sebaik selesai acara penghormatan terakhir, semua jenazah akan dibawa ke kampung halaman masing-masing," katanya.
Noor Hisam turut memaklumkan, sembilan anggota yang dilaporkan cedera masih menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Teluk Intan.
"Maklumat yang diperolehi setakat ini, dua daripada mereka berada di zon merah (zon kritikal) manakala tujuh lagi di zon kuning," katanya.
Ujar beliau, semasa kejadian, kenderaan terlibat dalam perjalanan pulang ke Ipoh bersama enam kenderaan FRU yang lain selepas selesai penugasan perayaan Chitra Pournami di Teluk Intan.
"Konvoi ini melibatkan empat lori, dua pacuan empat roda dan sebuah bas. Kenderaan yang terlibat dalam nahas ini berada di kedudukan kelima semasa kejadian," katanya.