KUALA TERENGGANU – Kejujuran seorang pemilik kedai di Jalan Syed Hussin, di sini, mencuri perhatian apabila memulangkan wang tunai hampir RM1,000 yang ditemuinya di hadapan premisnya minggu lalu.
Pemilik kedai, Heng Fock Suan, 75, berkata, kejadian berlaku sekitar jam 10.56 pagi pada 5 Mei lalu ketika beliau keluar dari kedai untuk membuang sampah.
"Kebetulan waktu keluar tu saya nampak ada duit berterabur atas lantai, ada RM50, RM10 dan RM1. Saya dan pekerja kutip semuanya dan kira, jumlahnya RM980.
"Hari yang sama saya tunggu juga kalau ada orang datang tanya pasal duit, tapi tak ada sesiapa muncul," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan wang berkenaan kepada pemiliknya, baru-baru ini.
Warga emas itu berkata, selepas wang tersebut tidak dituntut, beliau meminta anaknya menyemak rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengenal pasti pemilik wang itu.
Tambahnya, sekiranya pemilik wang gagal dikesan, beliau tetap berniat untuk menyerahkan wang berkenaan ke balai polis.
Sementara itu, pemilik wang, Wan Shahrul Sulaiman, 46, berkata, beliau tidak menyedari wang hasil perniagaannya tercicir semasa berjalan ke arah keretanya.
"Bila sampai di kereta, saya perasan duit dalam poket dah hilang. Cari sekitar kedai tak jumpa, dalam kereta pun tak ada.
"Waktu tu saya sudah pasrah, ingat memang duit ni dah hilang dan tak dapat jumpa balik.
"Dua tiga hari kemudian, uncle datang ke kedai saya, tanya kalau ada hilang duit. Dia tunjuk CCTV, memang betul duit saya jatuh depan kedai dia," katanya.
Dalam pada itu, Wan Shahrul meluahkan rasa syukur dan terharu atas kejujuran Heng yang sanggup mengembalikan wang tersebut walaupun boleh sahaja menyimpannya.
"Kita hidup dalam masyarakat majmuk, perpaduan itu penting. Kejujuran seperti ini tak kenal bangsa. Saya sangat bersyukur dan gembira," katanya.