Pemilik restoran didenda RM20,000 pamer logo halal tanpa perakuan sah

Iklan
Beng Kee (kiri) mengaku salah guna logo tanpa kelulusan. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID

KOTA BHARU - Seorang pemilik restoran popular di pusat bandar ini didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa kerana menggunakan logo halal tanpa perakuan sah daripada pihak berkuasa agama.

Hakim Zulkifli Abllah menjatuhkan hukuman itu terhadap orang kena saman (OKS), Lim Beng Kee, 48, selepas dia bersalah atas yang pertuduhan dibacakan.

Iklan
Iklan

OKS turut memohon maaf atas kesalahan yang dilakukan.

Mengikut pertuduhan, OKS didapati mempamerkan perihal makanan sebagai halal tanpa kebenaran atau perakuan sah daripada pihak berwibawa di sebuah restoran di Jalan Temenggong di sini pada jam 12.46 tengah hari, 18 November 2024.

Iklan

Kesalahan dilakukan kerana melanggar Perintah 4(1)(a) dan (b) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 dan boleh dihukum di bawah Perintah 8(b) perintah yang sama.

Jika sabit kesalahan, perintah memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.

Iklan
Penguatkuasa KPDN yang membawa bahan bukti ke mahkamah. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID

Berdasarkan fakta kes, sepasukan pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) menjalankan serbuan di premis berkenaan.

Pemeriksaan mendapati terdapat paparan iklan dan papan tanda memaparkan logo halal tanpa kelulusan daripada JAHEAIK.

Siasatan lanjut mengesahkan bahawa OKS merupakan salah seorang daripada tiga pemilik yang mengendalikan restoran tersebut.

Pegawai Pendakwa KPDN Kelantan, Muhammadi Iman Masjuri dalam hujah pemberatan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal mengambil kira kepentingan awam dan sensitiviti isu halal kepada masyarakat Islam.

"Penggunaan logo halal tanpa kebenaran dipercayai sudah berlaku selama empat tahun dan tindakan ini boleh memperdaya pelanggan yang beragama Islam,” katanya.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM20,000 dan sekiranya gagal membayar denda, OKS akan menjalani hukuman penjara selama enam bulan.

OKS yang tidak diwakili peguam turut merayu hukumannya diringankan atas kesalahan tersebut.