KKM kaji guna Akta 586 kawal paparan harga ubat di klinik swasta

Iklan
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menunjukkan buku Kriteria Standard Untuk Akreditasi Program Kejururawatan 2025 pada majlis Sambutan Hari Bidan & Hari Jururawat Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 yang diadakan pada Selasa. FOTO: SINAR HARIAN - ROSLI TALIB

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang meneliti kemungkinan untuk menggunakan Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) bagi mengawal selia paparan harga ubat di klinik swasta.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kementeriannya sentiasa bersikap terbuka serta mendengar pandangan semua pihak berkepentingan khususnya pengamal perubatan.

Iklan
Iklan

"Kami responsif, kami mendengar anda dan kami memahami dari mana anda datang,” katanya ketika sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Bidan dan Jururawat Peringkat Kebangsaan di Institut kanser Negara pada Selasa.

Menurutnya, langkah itu diambil susulan bantahan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) terhadap penggunaan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 bagi tujuan sama.

Iklan

Dr Dzulkefly berkata, tuntutan MMA supaya kerajaan menyemak semula kadar yuran konsultasi doktor am dan peraturan berkaitan paparan harga ubat dijangka dimuktamadkan selewat-lewatnya hujung Mei ini.

"KKM akan mempertimbang cadangan supaya paparan harga ubat diletakkan di bawah kawal selia Akta 586 kerana ia lebih relevan dalam bidang kuasa KKM,” ujarnya.

Iklan

Dalam perkembangan berasingan, beliau memaklumkan bahawa isu kenaikan elaun jururawat di fasiliti kesihatan awam masih dalam perbincangan di peringkat kementerian.

Terdahulu, MMA bersama beberapa persatuan perubatan lain telah menyerahkan memorandum kepada Pejabat Perdana Menteri bagi membantah penggunaan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 yang disifatkan menekan pengamal perubatan swasta.

Memorandum itu juga menyatakan kekecewaan MMA kerana tidak diberikan peluang untuk berbincang dengan kerajaan walaupun beberapa permintaan sesi libat urus telah dibuat, termasuk cadangan pertemuan dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Selain isu harga ubat dan kadar yuran konsultasi yang rendah, MMA turut membangkitkan kebimbangan terhadap penglibatan pentadbir pihak ketiga (TPA) yang bertindak sebagai orang tengah antara syarikat insurans dan pengamal perubatan.