KUALA SELANGOR - Kerajaan Selangor berdepan cabaran besar membanteras pencemaran sungai apabila siasatan sering terbantut akibat kesukaran membuktikan kesalahan pihak terbabit.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, walaupun punca pencemaran dikenal pasti, namun kelemahan dari segi pembuktian menyebabkan ramai pesalah terlepas daripada tindakan undang-undang.
"Proses siasatan dan pembuktian menjadi halangan utama sehingga menyebabkan banyak kes pencemaran tidak dapat dibawa ke muka pengadilan.
"Kita kesan pencemaran di sungai tapi bila siasat kilang bukti tak cukup untuk kaitkan mereka lepaskan sisa,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas Majlis Penyerahan Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) Pakej A dan C di Kolam Horas 600, Jalan Kawasan Loji Air, Bestari Jaya di sini pada Selasa.
Beliau memberitahu, tempoh masa antara kejadian pencemaran dan ketibaan air tercemar ke empangan menjadi faktor bukti mudah terhapus.
"(Misalnya) air dari Batang Kali ambil masa 15 hingga 24 jam untuk sampai ke Sungai Selangor, sedangkan dalam tempoh itu, pencemar dah henti operasi, bukti pun hilang,” ujarnya.
Beliau menjelaskan, meskipun kerajaan negeri sudah meminda dan menguatkuasakan enakmen yang memberi lebih banyak kuasa kepada penguat kuasa, namun proses pendakwaan masih bergantung kepada pendakwa raya dan undang-undang Persekutuan seperti Akta Alam Sekitar.
"Masih tiada pendakwaan guna enakmen negeri. Pendakwa raya ada kebijaksanaan sendiri guna akta mana, namun cabaran paling besar tetap bukti, kalau tak cukup, kes gugur,” katanya.
Amirudin menegaskan, kerajaan negeri amat serius dalam menangani isu itu, namun kecewa apabila ramai pesalah terlepas akibat kekangan teknikal dalam siasatan.
"Kami bukan tak ambil tindakan, tapi pembuktian dalam mahkamah bukan mudah kerana kena sahkan bukti, semak semula dan pastikan semua ikut prosedur,” katanya.
Katanya, bagi memperkasa tindakan penguatkuasaan, beliau mencadangkan pihak berkuasa diberi lebih kuasa untuk masuk ke premis dan mendapatkan bukti secara cepat.
"Kalau tak boleh masuk premis, nak cari bukti macam mana? Sebab itu undang-undang kena selaras supaya tindakan lebih tuntas,” katanya.