ALOR GAJAH - Sepasang suami isteri didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, pada Selasa, atas tuduhan melakukan penderaan terhadap bayi mereka berusia dua bulan pada minggu lalu.
Tertuduh Nur Khairunnisa Jusni dan suaminya, Muhamad Nor Azim Abdullah masing-masing berusia 22 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan secara bersama selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Aiza Khairuddin.
Sejurus dibacakan pertuduhan itu, Nur Khairunnisa mengatakan tidak melakukan perbuatan itu, namun mendakwa anaknya terjatuh selepas ditanya pihak mahkamah lebih sekali.
Berdasarkan pertuduhan, operator kilang dan suri rumah itu didakwa melakukan pengabaian terhadap bayi lelaki berusia dua bulan yang telah mendedahkan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan bahagian kepala dan badan.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Taman Seri Pelangi di sini, antara 2 Mei hingga 5 Mei lalu.
Kedua-duanya dituduh mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ali Hussain manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Mohammed Hissham Ramdzan.
Semasa prosiding, Muhamad Ali tidak menawarkan sebarang jaminan atas alasan Seksyen 31(1) (a) dipinda pada 2016 dan hukuman penjara dan denda menunjukkan kesalahan ini adalah serius lebih-lebih lagi mangsa baru berusia dua bulan dan merupakan anak kandung kepada kedua-dua orang kena tahan (OKT).
Muhamad Ali turut memberitahu mahkamah, pihak pendakwaan tidak menawarkan jaminan bukanlah untuk menghukum namun kuasa jaminan adalah tertakluk kepada budi bicara mahkamah dan menyerahkan keputusan itu kepada hakim.
Mohammed Hissham dalam hujahnya, memohon mahkamah memberikan pasangan itu jaminan kerana ini merupakan pertuduhan pertama yang mereka hadapi selain tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.
Hujahnya lagi, Nur Khairunnisa baru habis tempoh berpantang manakala Muhamad Nor Azim hanya berpendapatan RM1,800 sebulan dengan pekerjaannya itu.
Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin selain dikenakan syarat tambahan termasuk perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah, melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Mahkamah turut menetapkan tarikh 12 Jun depan untuk sebutan semula kes.
Sinar Harian pada Selasa lalu melaporkan bahawa bayi tersebut kini bertarung nyawa di Hospital Melaka akibat mengalami pendarahan dalam kepala, luka dan lebam selepas dipercayai didera.
Menurut sumber, insiden menimpa bayi tunggal pasangan itu terbongkar selepas si ibu membawa anaknya ke Hospital Alor Gajah dengan mendakwa bayi tersebut mengalami sawan.
Katanya, bayi terbabit kemudian dirujuk ke Hospital Melaka dan hasil pemeriksaan oleh doktor pakar menemui kesan lebam dan luka pada badan serta leher bayi, selain pendarahan lama dan baharu dalam kepala.
"Doktor yang merawat telah membuat laporan polis selepas mengesyaki bayi tersebut menjadi mangsa penderaan.
"Difahamkan juga, si bapa turut menepuk dada bayi tersebut beberapa kali kerana berang dengan tangisannya, manakala si ibu disyaki telah menghempas bayi itu ke lantai,” katanya.