KAJANG - Langkah Majlis Sosial Negara (MSN) untuk menyelaraskan Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) telah menimbulkan pelbagai reaksi dan menjadi persoalan kepada masyarakat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Nushi Mahfodz berkata, ia berikutan Pasti berkembang sebagai pusat pendidikan prasekolah Islam yang dibiayai sepenuhnya oleh komuniti tanpa bergantung kepada dana kerajaan.
Menurutnya, Pasti juga selari dengan Dasar Sosial Negara (DSN) yang menggariskan prinsip memperkasakan komuniti di mana setiap entiti masyarakat yang berdikari serta tidak membebankan kerajaan perlu disokong dan bukan disekat.
"Langkah ini dikatakan bertujuan meningkatkan kualiti pendidikan dan menyeragamkan standard pendidikan Islam. Pada dasarnya, hasrat ini wajar dipuji kerana usaha menyelaraskan standard bagi memastikan kanak-kanak mendapat akses pendidikan berkualiti merupakan matlamat baik.
"Persoalan timbul apabila Pasti dijadikan fokus utama penyelarasan, malah dengan lebih 2,500 cawangan dan 125,000 pelajar setiap tahun, Pasti berdiri atas sokongan masyarakat, sumbangan sukarelawan dan tenaga pengajar yang ikhlas mendidik generasi muda dengan ilmu, al-Quran, solat serta adab Islam.
"Jika Pasti tidak melanggar mana-mana peruntukan DSN dan berdiri atas semangat berdikari, mengapa ia mahu diselaraskan? Adakah ia benar-benar demi kualiti atau satu bentuk kawalan terhadap pendidikan Islam yang tumbuh subur secara organik di lapangan masyarakat?” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.
Pada Jumaat lalu, mesyuarat MSN 1/2025 yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Khas Pendidikan Islam Prasekolah.
Ahmad Zahid dalam kenyataan berkata, jawatankuasa itu bertujuan menyelaras aspek pendaftaran, pembangunan kurikulum serta kebajikan guru-guru di Pasti bagi memastikan penyampaian pendidikan prasekolah yang berkualiti, selamat dan teratur.
Mengulas lanjut, Nushi yang juga Setiausaha Dewan Ulama Pas Pusat berkata, langkah pertama yang wajar dilakukan kerajaan ialah menyelaras institusi yang menerima bantuan kerajaan secara besar-besaran sekiranya benar-benar mahu meningkatkan kualiti pendidikan secara menyeluruh.
"Apa yang lebih menimbulkan persoalan, mengapa penyelarasan ini ditujukan kepada Pasti terlebih dahulu sedangkan terdapat institusi lain yang menerima bantuan besar daripada kerajaan tanpa melalui proses serupa.
"Tidakkah institusi yang menggunakan wang rakyat perlu dipantau dengan lebih teliti untuk memastikan ketelusan dan kebebasan daripada pengaruh politik?
"Sebagai contoh, sekolah menengah persendirian Cina (SMPC) menerima antara RM12 juta hingga RM15.75 juta setiap tahun daripada dana awam dan lebih mengejutkan, dalam majlis rasmi penyerahan bantuan, cek sumbangan disampaikan oleh pemimpin politik, lengkap dengan logo parti yang melanggar prinsip neutraliti pendidikan,” ujarnya.
Tambah Nushi, kerajaan perlu menubuhkan platform dialog terbuka bersama pihak pengurusan Pasti, ibu bapa dan wakil komuniti untuk mengenal pasti ruang penambahbaikan tanpa menekan usaha komuniti yang berdikari.