Malaysia dijangka terima Pesawat Rondaan Maritim pertama akhir 2026 - Khaled Nordin

Iklan
Mohamed Khaled mendengar penerangan daripada Pengarah Urusan Aeronautics Division Leonardo Stefano Bortoli ketika mengadakan lawatan industri di fasiliti syarikat pertahanan Republik Itali Leonardo. Foto Bernama

TURIN - Pesawat Rondaan Maritim (MPA) pertama yang diperoleh kerajaan daripada syarikat aeroangkasa, pertahanan dan keselamatan Itali, Leonardo, dijangka diserahkan kepada Malaysia pada akhir 2026, diikuti pesawat kedua tiga bulan selepas itu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, dua pesawat tersebut merupakan sebahagian daripada perolehan bernilai hampir RM900 juta yang dimuktamadkan pada 2023 bagi memperkukuh keupayaan pertahanan dan pemantauan perairan negara.

Iklan
Iklan

"Sebagai sebuah negara maritim, Malaysia memang perlu mempunyai aset dan peralatan terkini, dan pesawat ini akan digunakan untuk menjalankan rondaan.

"Lebih penting, ia turut dilengkapi dengan peralatan anti-kapal selam dan mampu bertindak dalam aktiviti berkaitan,” katanya ketika mengadakan lawatan kerja ke fasiliti syarikat itu di sini, pada Isnin.

Iklan

Turut hadir, Duta Besar Malaysia ke Itali, San Marino dan Kosovo, Datuk Zahid Rastam; Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Goriman Khan; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertahanan, Mohd Yani Daud; serta Pengarah Urusan Leonardo Aeronautics Division, Stefano Bortoli.

Mohamed Khaled berkata, struktur pesawat itu dibina di Toulouse, Perancis, dan akan dipasang dengan pelbagai sistem canggih termasuk keupayaan Peperangan Anti-Permukaan dan Anti-Kapal Selam sebelum diserahkan kepada Malaysia.

Iklan

Beliau menyifatkan perolehan itu sebagai pelaburan strategik yang akan memperkukuh kesiapsiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam menghadapi cabaran keselamatan serantau, khususnya di kawasan Laut China Selatan yang semakin kompleks.

"Kita tahu Laut China Selatan merupakan kawasan yang mempunyai cabaran tersendiri dengan konflik yang semakin meningkat, jadi perolehan ini akan membantu negara.

"Setakat ini, kemajuan projek telah melebihi 60 peratus dan berjalan mengikut jadual. Kita berpuas hati dengan perkembangan kerja yang dijalankan oleh pihak Leonardo,” katanya.

Perolehan MPA merupakan sebahagian daripada perancangan perolehan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang digariskan dalam Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 (CAP55), dengan sasaran untuk memperoleh enam pesawat MPA secara berfasa.

Pesawat MPA yang bakal diterima oleh TUDM dinamakan sebagai P-72M, berasaskan pesawat komersial ATR 72-600, yang penggunaannya meluas di seluruh dunia, terutama di Asia Tenggara.

Fungsi utama P-72M ialah melaksanakan misi Peperangan Anti-Permukaan, Peperangan Anti-Kapal Selam, dan Peperangan Elektronik.

Selain itu, fungsi sekundernya termasuk menjalankan misi mencari dan menyelamat (SAR), pengawasan zon maritim Malaysia, pengoperasian bersama unit ATM, serta penguatkuasaan antara agensi kerajaan dan keselamatan lain. - Bernama