TANGKAK - Dua individu mengalami kerugian keseluruhan sebanyak RM83,400 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan dalam talian atau phone scam yang menyamar sebagai pegawai polis dan melalui tawaran kerja palsu.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Roslan Mohd Talib berkata, dua laporan berhubung kejadian itu telah diterima pada Isnin.
"Kes pertama melibatkan seorang eksekutif pemasaran berusia 33 tahun yang mendakwa ditipu oleh individu menyamar sebagai pegawai polis.
"Mangsa telah melakukan 12 transaksi kewangan ke dalam lima akaun bank suspek antara Februari hingga April tahun ini, menyebabkan kerugian sebanyak RM58,900," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Roslan berkata, bagi kes kedua pula melibatkan seorang wanita berusia 34 tahun yang ditipu melalui tawaran pekerjaan menerusi aplikasi Telegram.
"Mangsa yang bekerja sebagai jururawat dijanjikan komisen sebanyak RM2.50 bagi setiap tugasan tetapi mengalami kerugian RM24,500 selepas membuat enam transaksi ke tiga akaun berbeza,” ujarnya.
Tambah Roslan, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebat serta denda.
"Orang ramai diminta agar lebih berwaspada serta tidak mudah percaya dengan panggilan telefon atau mesej yang menyamar sebagai pihak berkuasa atau menawarkan pekerjaan yang tidak wujud.
"Orang ramai juga digesa membuat semakan terlebih dahulu terhadap sebarang pelaburan atau tawaran kerja bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan,” katanya.