SHAH ALAM - Malaysia disahkan masih bebas daripada jangkitan bakteria Streptococcus suis, meskipun negara jiran Thailand mencatatkan kematian manusia akibat jangkitan zoonotik tersebut baru-baru ini.
Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) menjelaskan bahawa Streptococcus suis merupakan bakteria yang menyebabkan penyakit streptokokosis pada ternakan babi, khususnya anak babi selepas tempoh bercerai susu.
Bagaimanapun, menurut kenyataan itu, penyakit tersebut berpotensi menjangkiti manusia melalui luka atau daging babi yang tidak dimasak dengan sempurna.
"Antara tanda klinikal awal penyakit pada ternakan babi termasuklah demam, hilang selera makan, tempang antara kaki, kelesuan serta kemurungan.
"Babi yang dijangkiti juga boleh menunjukkan tanda meningitis seperti menarik telinga ke belakang, mengecilkan mata, hilang koordinasi pergerakan dan duduk dalam posisi luar biasa," kata DVS dalam kenyataan media pada Selasa.
Menurut kenyataan itu lagi, gejala boleh berkembang dengan cepat sehingga babi tidak mampu berdiri, mengalami kekejangan otot belakang, sawan, pergerakan mata tidak terkawal (nystagmus) atau kematian mengejut tanpa tanda awal.
DVS menasihatkan para penternak agar segera melaporkan sebarang gejala mencurigakan kepada jabatan tersebut untuk tindakan lanjut.
Tambah kenyataan itu, bakteria tersebut lazimnya terdapat dalam tonsil, saluran pembiakan serta sistem pencernaan babi yang sihat, namun boleh menjadi berbahaya jika haiwan berada dalam keadaan tertekan.
Menurut DVS lagi, terdapat beberapa faktor yang boleh menyebabkan tekanan tinggi kepada ternakan, antaranya ialah kepadatan ternakan, pengudaraan yang teruk dan tidak mencukupi, perubahan suhu melampau, pencampuran usia babi dengan perbezaan melebihi dua minggu serta jangkitan penyakit lain.
Justeru, DVS menegaskan bahawa semua penternak dan pengendali ladang hendaklah mengamalkan biosekuriti yang baik, menjaga kebajikan haiwan secara konsisten, membuat pemantauan kesihatan ternakan setiap masa serta melaporkan sebarang gejala dengan segera kepada jabatan tersebut.
Dalam pada itu, jabatan terbabit turut memberi peringatan kepada pekerja ladang, rumah sembelih, pengangkut dan penjual daging babi supaya memakai alat pelindung diri sewaktu mengendalikan haiwan atau produknya.
"Setiap penternak dan pengendali ternakan babi juga disarankan agar berwaspada terhadap perubahan kesihatan diri serta menjalani pemeriksaan kesihatan sekiranya bergejala," tambah kenyataan tersebut.
Sebarang maklumat atau laporan berkaitan penyakit ternakan boleh disalurkan terus ke Pejabat Perkhidmatan Veterinar berhampiran atau melalui talian hotline 03-8870 2041.