BEIJING – Seorang lelaki di China hampir kehilangan nyawa selepas membenarkan seorang ‘doktor’ tidak bertauliah melakukan rawatan akupunktur ke atasnya di sebuah kafe siber.
Sebelum kejadian, mangsa yang dikenali sebagai Gao telah didiagnosis dengan fibroma di bawah bahu. Isterinya, Zhang, mencadangkan agar suaminya mendapatkan rawatan alternatif daripada seorang individu di wilayah Henan.
Sebaliknya, lelaki yang menyamar sebagai doktor itu mendakwa Gao tidak menghidap tumor, tetapi hanya mengalami ‘bengkak angin’ yang boleh dirawat melalui beberapa sesi akupunktur.
Rawatan pertama dijalankan pada 22 Februari lalu secara terbuka di ruang rehat kafe siber milik rakan mereka.
Namun, sebaik beberapa batang jarum dicucuk ke belakangnya, Gao tiba-tiba mengalami sesak nafas dan hilang kawalan membuang air, menyebabkan dia segera dikejarkan ke hospital.
Doktor mengesahkan Gao mengalami paru-paru bocor (pneumotoraks) dan kegagalan pernafasan. Mangsa kemudian dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dalam keadaan kritikal dan berjaya diselamatkan.
Menurut pegawai perubatan, jika Gao tiba lewat seminit, nyawanya mungkin tidak dapat diselamatkan.
Pada awalnya, individu terbabit mengaku bertanggungjawab, namun kemudian menghilangkan diri dan menyekat akaun milik Zhang di media sosial.
Zhang yang tidak berputus asa mendapatkan bantuan media tempatan dan akhirnya menemui rumah suspek.
Bapa suspek memberitahu bahawa anaknya hanyalah seorang ‘doktor palsu’ yang mempelajari teknik urutan dan akupunktur hanya dengan melihat orang lain melakukan perubatan tradisional China.
Rakan Zhang yang memperkenalkan suspek juga mengaku pernah mendapatkan rawatan daripadanya dan mendakwa ‘sembuh’ daripada sakit leher.
Pegawai kesihatan tempatan memaklumkan bahawa laporan rasmi telah dihantar kepada pihak polis dan pendakwa raya untuk tindakan undang-undang.
Peguam Li Bo menjelaskan bahawa suspek boleh dikenakan tuduhan mengamalkan perubatan tanpa lesen dan jika menyebabkan kecederaan serius, boleh dihukum penjara antara tiga hingga 10 tahun.
Insiden itu mengundang kecaman hebat netizen yang menyifatkan pasangan tersebut terlalu mudah mempercayai rawatan tidak sah.
"Dia memang bernasib baik kerana masih hidup. Mereka sendiri yang salah kerana mempercayai ‘doktor palsu’,” kata seorang pengguna.