BATU PAHAT – Tindakan individu tidak dikenali merosakkan kenderaan rasmi milik Pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Sri Gading pada Sabtu lalu menimbulkan rasa kesal dan kebimbangan terhadap budaya politik kebencian dalam negara.
Ahli Parlimen Sri Gading, Aminolhuda Hassan berkata, beliau mengakui berasa sedih, namun bukan kerana kerosakan kenderaan itu, sebaliknya kerana sikap pelaku yang bertindak tanpa pertimbangan waras.
"Saya sedih bukan kerana kereta sudah rosak, tetapi kerana individu yang membuat aniaya ini bertindak tanpa berfikir panjang dan tanpa siuman, buat waktu pagi sekitar pukul 10 lebih... ada saksi.
"Semalam (Sabtu), pihak polis telah mengesan dan menangkap dia (suspek). Kalau kita tengok pada kenderaan yang diketuk ini, bukan sekali atau dua kali tetapi sampai 17 kali.
"Wiper kedua-dua belah dipatahkan, cermin sisi ditanggalkan, lampu belakang rosak (dicabut), dan termasuk cermin belakang (pecah),” katanya menerusi satu hantaran di TikTok pada Ahad.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani memaklumkan seorang lelaki berusia 37 tahun telah ditahan di sebuah rumah di Tongkang Pechah, kira-kira pukul 3 petang pada Sabtu bagi membantu siasatan kes tersebut.
Ujarnya, polis turut merampas sebuah kenderaan, pakaian serta beberapa alat yang digunakan suspek semasa melakukan perbuatan khianat itu.
Tambah beliau, hasil ujian air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan. Suspek kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan.
Mengulas lanjut, Aminolhuda turut meluahkan rasa kesal apabila gambarnya yang dilekatkan pada kenderaan tersebut turut dirosakkan, khususnya pada bahagian muka yang dipercayai akibat cubaan memecahkan cermin sisi kenderaan.
"Apalah dosa aku. Gambar aku pun nak diconteng... dikeruknya, aduhai. Dia ketuk tapi tak anulah (tidak berjaya) agaknya.
"Pertama sekali saya ucapkan terima kasih kepada pihak keselamatan yang telah bertindak pantas. Walau apa pun, saya bimbang budaya benci kepada pimpinan politik. Kalau benci kepada orang yang jahat, mencuri, sakau harta rakyat, itu tak apalah juga.
"Aku ni... ALLAHuakbar. Rakyat Parlimen Sri Gading, rakyat DUN Parit Yaani lebih mengenali saya. Saya minta doa daripada sahabat semua. Saya serah pada ALLAH, segala-galanya ALLAH tentukan,” katanya.